Bekas menteri negeri India ditahan berkait dakwaan rogol pelakon Malaysia

Bekas menteri negeri India ditahan berkait dakwaan rogol pelakon Malaysia

M Manikandan dituduh merogol, mengakibatkan keguguran, kesakitan, menipu dan ugutan jenayah.

Shantini Theva mendakwa mempunyai hubungan sulit dengan bekas menteri negeri India, M Manikandan.
PETALING JAYA:
Bekas menteri negeri India ditahan di Bengaluru, India, hari ini selepas didakwa merogol seorang pelakon Malaysia bersama beberapa lagi tuduhan lain.

M Manikandan, yang berkhidmat sebagai menteri teknologi maklumat Tamil Nadu antara 2016 hingga 2019 dituduh merogol, mengakibatkan keguguran, mendatangkan kesakitan, menipu dan ugutan jenayah bawah Kanun Keseksaan India.

Dia turut didakwa mengikut Akta Teknologi Maklumat.

Penahanan Manikandan susulan laporan dibuat pelakon Shantini Theva kepada polis India bulan lalu.

Shantini mendakwa menjalin hubungan sulit dengan Manikandan selama lima tahun, dan Manikandan turut berjanji mengahwininya walaupun dia sudah berkahwin.

M Manikandan.

Menurut laporan akhbar India, The Hindu, “jaminan awal” terhadap Manikandan ditolak pada Rabu.

Laporan itu mengatakan, Shantini menuduh Manikandan menghamilkannya sebanyak tiga kali, memaksanya menggugurkan kandungan dan mengugut ahli keluarganya di Malaysia apabila dia mendesak Manikandan mengahwininya.

Dalam laporan berasingan di akhbar The Indian Express, Shantini menuduh bekas menteri negeri itu menyerangnya beberapa kali, mengancam dan mengugut untuk menyebarkan gambar intim dan video mereka di internet dan turut diugut bunuh.

Bekas menteri negeri itu dilaporkan menafikan semua tuduhan berkenaan.

Akhbar The Hindu melaporkan, Manikandan diperkenalkan kepada Shantini pada 2017 dan mula menjalinkan persahabatan dengan alasan untuk melabur di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.