Warga asing maut dihempap runtuhan batu di dapur rumah

Warga asing maut dihempap runtuhan batu di dapur rumah

Polis berkata, isteri mangsa dan dua anak berusia enam serta 18 tahun sempat menyelamatkan diri.

RANAU:
Seorang warga asing maut selepas dapur rumahnya ditimpa runtuhan batu dari bukit berhampiran di Kampung Pinousuk, Kundasang, semalam.

Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 3 petang ketika Junaidi Gangka, 55, bersama isterinya sedang berehat di dapur.

Ketua Polis Daerah Ranau, Simiun Lomudin berkata, beberapa pekebun berhampiran tempat kejadian berjaya mengeluarkan mangsa dari bawah runtuhan.

Bagaimanapun katanya, lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan setibanya di Hospital Ranau.

“Dalam kejadian ini, isteri mangsa dan dua anaknya berusia 18 serta enam tahun yang turut berada di dalam rumah sempat menyelamatkan diri.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selepas melawat tempat kejadian untuk siasatan lanjut, polis memberi amaran runtuhan mungkin berlaku lagi.

Oleh itu Simiun menasihati penduduk supaya berwaspada dengan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.