Adakah Parlimen automatik bubar jika tak bersidang dalam masa 6 bulan, kumpulan soal AG

Adakah Parlimen automatik bubar jika tak bersidang dalam masa 6 bulan, kumpulan soal AG

Masyarakat berhak mengetahui nasihat perlembagaan beliau kepada Jemaah Menteri mengenai persoalan penting ini, kata mereka.

Parlimen kali terakhir bersidang pada 17 Dis tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Beberapa kumpulan masyarakat sivil mendesak Peguam Negara (AG) Idrus Harun untuk berkongsi dengan orang ramai nasihatnya kepada Jemaah Menteri akibat kegagalan memanggil Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang dalam tempoh masa enam bulan selepas sidang terakhirnya.

Dalam kenyataan bersama yang ditandatangani Bait al Amanah, Bersih 2.0, Engage, IDEAS, Pusat Komas, Reformasi dan Undi18, mereka berkata, masyarakat berhak mengetahui nasihat perlembagaan beliau mengenai persoalan penting itu.

Kata mereka, Idrus perlu menjelaskan sama ada kegagalan memanggil Parlimen dan DUN sebelum 1 Ogos, apabila darurat tamat, menyebabkan pembubaran automatik semua badan perundangan ini.

Kenyataan Idrus Jumaat lalu menyentuh Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan, tetapi sengaja menghindari suatu perkara utama, iaitu jurang maksimum yang dibenarkan selama enam bulan antara satu penggal Parlimen dengan penggal yang lain.

Parlimen kali terakhir bersidang pada 17 Dis.

Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat pada 12 Feb yang dijangka ditamatkan pada 1 Ogos atau lebih awal, bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Perkara 55(1) berbunyi: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.”

Minggu lalu, Idrus menyertai perbahasan mengenai persidangan semula Parlimen dengan berkata, Agong mesti bertindak atas nasihat Jemaah Menteri dalam memanggil sidang Dewan Rakyat.

Setelah baginda memperkenan Parlimen bersidang semula “secepat mungkin”, Idrus berkata, perdana menteri harus menetapkan tarikhnya, 28 hari sebelum persidangan.

Perkara 40 (1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan katanya, menetapkan bahawa Agong harus bertindak atas nasihat Jemaah Menteri, “kecuali dinyatakan sebaliknya”.

“Kedudukan Agong tidak berubah walaupun setelah darurat diumumkan,” katanya.

Mengulas lanjut Idrus berkata, sementara Perkara 55 (1) memberi kuasa kepada Agong untuk memanggil Parlimen bersidang kembali, ordinan darurat mengatasi ini sepanjang tempoh darurat.

Ordinan darurat jelasnya, memberi Agong kuasa untuk memanggil Parlimen untuk bersidang pada tarikh yang “dirasakan sesuai”.

Awal bulan ini, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, baginda berkenan Parlimen bersidang kembali secepat mungkin untuk membincangkan isu-isu berkait Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.