Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata semua suspek yang disyaki terlibat sudah dikenal pasti untuk siasatan lanjut.
Fakhrudin berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang kanak-kanak perempuan warga tempatan berumur 12 tahun mengenai kejadian dipukul seorang remaja perempuan berumur lingkungan 12 hingga 13 tahun yang juga rakan sekolahnya.
“Kejadian dipercayai kerana cemburu hubungan pengadu dengan abang angkat iaitu seorang lelaki tempatan.
“Pengadu telah mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan akibat kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di kawasan tangga perumahan pangsapuri di Kelana Jaya dan ketika itu terdapat rakan suspek yang merakam perbuatan berkenaan dan menularkannya di WhatsApp serta Instagram milik suspek.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan arahan untuk menjalankan siasatan sudah diperoleh daripada Timbalan Pendakwa Raya.
“Polis menasihati masyarakat supaya menghentikan penularan rakaman video tersebut memandangkan kes masih dalam siasatan,” katanya.
Terdahulu, satu klip video memaparkan seorang remaja perempuan berusia 12 tahun ditampar dan dipijak tular di laman Facebook dan Twitter dalam satu insiden yang dilaporkan berlaku di Kelana Jaya, semalam.
Video berdurasi 2 minit 20 saat itu menunjukkan seorang remaja memakai baju berwarna kuning menarik rambut mangsa sehingga membuatkannya terduduk sebelum memijak dan menampar kepala mangsa.