Pengurus kurang upaya bangkit isu pencen PERKESO

Pengurus kurang upaya bangkit isu pencen PERKESO

Muhammad Mageswaran, yang kini terpaksa menggunakan rangka berjalan berkata, permohonannya untuk mendapatkan pencen hilang upaya banyak kali ditolak.

Muhammad Mageswaran berkata, wang simpanannya sudah habis.
PETALING JAYA:
Dibebani komplikasi kesihatan dan kewangan, bekas pengurus kondominium Muhammad Mageswaran, 48, bergelut untuk melangsungkan hidupnya saban hari sejak terpaksa berhenti kerja tahun lalu.

Beliau terpaksa menjalani beberapa pembedahan di kaki selepas menderita diabetes kronik selama hampir 20 tahun.

Kini beliau hanya boleh berjalan dengan bantuan rangka berjalan dan kebanyakan masanya tidak dapat bangun.

Keadaan ini memaksanya berhenti bekerja di Taiping, yang memerlukannya untuk membuat tinjauan, menguruskan perniagaan harian dan memantau penyelenggaraan bangunan.

“Walaupun saya boleh berjalan, tapi sakit. Apa kerja boleh saya buat?”

Mageswaran mempersoalkan mengapa Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak meluluskan pencen hilang upayanya walaupun beliau berdaftar sebagai orang kurang upaya (OKU) dengan Jabatan Kebajikan dan memiliki kad OKU.

“Ketika saya membuat rayuan dengan PERKESO pada Disember, sekali lagi permohonan saya ditolak.

“Saya banyak menulis surat kepada individu yang berkuasa, meminta bantuan dan mereka menasihatkan saya untuk cuba lagi.

“Sekarang, saya akan pohon lagi, disertai laporan perubatan. Saya tak tau apa lagi nak dilakukan,” keluhnya.

Ketua Eksekutif PERKESO Mohammed Azman Aziz berkata, lembaga perubatan bebas mendapati Mageswaran tidak layak mendapat pencen hilang upaya dan menasihatkannya mendapatkan rawatan dan pemulihan.

Kata Azman, Mageswaran dimaklumkan pada Februari bahawa tuntutan lanjut boleh dibuat jika keadaannya berubah.

“Semua individu yang diinsuranskan boleh memanfaatkan pemulihan dan latihan untuk berfungsi lebih optimum supaya dapat kekal bekerja,” katanya.

Mageswaran berkata, keadaannya tidak membolehkannya bekerja dan wang simpanannya sudah habis.

Katanya, beliau bergantung dengan keluarga dan rakan-rakan untuk membantunya membeli makanan dan membayar bil perubatan bulanan.

“Saya mahu orang ramai sedar penderitaan orang seperti saya. Saya hanya menuntut hak saya, bukan wang percuma,” katanya.

Tambahnya, keadaan kini sukar bagi keluarganya.

“Saya ada anak perempuan yang dijaga keluarga mentua saya. Saya tiada wang pun untuk menyumbang (untuk membesarkannya),” kata Mageswaran.

Azman berkata, PERKESO menyediakan program khusus untuk membantu individu kembali bekerja, yang disokong rangkaian panel perkhidmatan pemulihan dan Pusat Rehabilitasi PERKESO.

“PERKESO akan menyokong individu yang diinsuranskan melalui pemulihan, latihan semula, pengurusan kes dan penempatan pekerjaan supaya mereka dapat kembali bekerja selepas mengalami kemalangan, penyakit atau kehilangan upaya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.