Bayi 9 bulan kritikal disyaki didera pengasuh

Bayi 9 bulan kritikal disyaki didera pengasuh

Doktor yang merawat bayi itu menyedari terdapat unsur penderaan berdasarkan kesan kecederaan pada bahagian kepala mangsa.

Ketua Polis Daerah Serdang, A A Anbalagan, berkata suspek yang juga seorang wanita memberitahu bayi dalam jagaannya itu cedera akibat terjatuh dari sofa.
PETALING JAYA:
Seorang pengasuh disyaki mendera bayi lelaki berusia sembilan bulan yang kini dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Daerah Serdang, A A Anbalagan, berkata suspek yang juga seorang wanita memberitahu bayi dalam jagaannya itu cedera akibat terjatuh dari sofa.

“Suspek mendakwa telah mengejutkan bayi berkenaan untuk memberi susu sekitar 11 malam, bagaimanapun mangsa kelihatan lemah dan terus membawanya ke hospital untuk rawatan,” katanya menurut laporan Kosmo.

Bagaimanapun, beliau berkata doktor di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang merawat bayi itu pada Rabu lalu menyedari terdapat unsur penderaan berdasarkan kesan kecederaan pada bahagian kepala mangsa.

Sehubungan itu, suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang keesokannya untuk membantu siasatan.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga esok bagi siasatan bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 Kanun Keseksaan,” katanya.

Difahamkan, suspek juga telah dituduh di Mahkamah Sesyen (4) Petaling Jaya, hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.