
Presiden CUEPACS, Adnan Mat, berkata kerajaan dan LPPSA sepatutnya menimbang dan tidak menolak penangguhan pinjaman perumahan hanya kerana penjawat awam dan pesara kerajaan, kekal menerima gaji dan pencen penuh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, selain bekerja dalam sektor swasta, pasangan penjawat awam ada membuka perniagaan kecil-kecilan, termasuk menjadi suri rumah sepenuh masa.
“Ada dalam kalangan mereka (pasangan) kehilangan kerja, terjejas pendapatan dan tidak lagi boleh berniaga berikutan pelaksanaan PKP secara berterusan sejak tahun lalu. Selain itu, kebanyakan penjawat awam juga memohon pinjaman LPPSA dengan mengemukakan pendapatan bersama pasangan.
“Jika tidak, sudah tentu pembiayaan penjawat awam ini sukar mendapat kelulusan, apatah lagi dengan harga kediaman yang mahal ketika ini. Sekiranya, LPPSA membenarkan penangguhan bayaran pinjaman, mereka yang terbabit mempunyai lebihan pendapatan boleh guna merancang kewangan serta membantu keluarga dalam kesusahan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Adnan berkata, pihaknya berpandangan LPPSA tidak wajar menolak moratorium ketika pandemik masih melanda negara lebih setahun lalu.
“Pandemik melanda negara sepatutnya membuka mata semua pihak bersama-sama bersolidariti dengan rakyat. Tambahan pula agensi kerajaan lain seperti MARA, PTPTN, JPA dan PTPK turut melaksanakan moratorium.
“CIMB Bank, sebuah bank swasta juga memberikan moratorium kepada pekerja mereka bergaji bawah RM4,000, walaupun gaji mereka masih dibayar seperti biasa,” katanya.