
KUALA LUMPUR: Nor Zamani Abdol Hamid telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan yang baharu, berkuat kuasa 22 Jun lalu.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Ketua Pengarah Pendidikan ke-18 itu adalah wanita ketiga dilantik memegang jawatan tersebut.
Menurut KPM, Nor Zamani, 59, mula berkhidmat dalam bidang pendidikan pada 1986 sebagai Ketua Jabatan A-Level di Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan.
KPM memaklumkan, beliau telah berkhidmat di pelbagai organisasi dalam kementerian dalam tempoh 35 tahun perkhidmatannya.
Antara jawatan yang pernah disandangnya termasuk Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum dan Pengarah Bahagian Pendidikan Swasta.
Nor Zamani berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sosiologi dan Antropologi dan Ijazah Sarjana Pendidikan daripada Universiti Malaya.
Beliau diyakini dapat menggalas tanggungjawab sebagai peneraju perkhidmatan pendidikan dan seterusnya meningkatkan lagi prestasi kementerian dalam mencapai aspirasi pendidikan negara, kata KPM.