
Hal berkenaan juga tidak pernah dibincangkan dalam kalangan parti-parti komponen BN, katanya.
“Saya selaku Setiausaha BN boleh maklumkan bahawa kita tidak ada apa-apa kaitan dengannya,” katanya kepada pemberita di Lumut, menurut laporan Sinar Harian.
“Ini mungkin berita-berita yang disampaikan oleh kalangan mereka yang mahu membuat berita sedangkan hal-hal demikian tidak pernah kita bincangkan.”
Zambry, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, mengulas mengenai laporan bahawa Umno Pusat memanggil Ahli-ahli Parlimennya secara berperingkat untuk membuat perakuan bersama meninggalkan kerajaan dalam tempoh terdekat.
Sumber yang dipetik laporan itu berkata, lebih 10 orang Ahli Parlimen Umno yang juga Ahli MKT dipanggil menemui Presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.
Pertemuan di pejabat parti itu turut dihadiri Timbalannya, Mohamad Hasan serta Setiausaha Agung, Ahmad Maslan.
“Pendekatan ini diambil kerana Umno tidak dapat mengadakan mesyuarat MKT secara bersemuka akibat pelaksanaan PKP (perintah kawalan pergerakan).
“Kaedah ini sama dengan yang digunakan oleh MKT Umno untuk mendapatkan persetujuan menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan,” kata sumber itu.
Umno adalah blok penyokong terbesar kepada kerajaan PN yang mempunyai sokongan amat rapuh di Dewan Rakyat.