Tanam Musang King di hutan simpan kekal, 18 individu direman

Tanam Musang King di hutan simpan kekal, 18 individu direman

Perintah reman dikeluarkan terhadap suspek berusia lingkungan 17 hingga 60 tahun pada prosiding di Mahkamah Majistret Raub hari ini.

Seramai 18 suspek ditahan oleh JPNP bagi tujuan reman untuk membantu siasatan pihak berkenaan berhubung pencerobohan hutan simpan.
KUANTAN:
Seramai 18 individu termasuk seorang wanita direman sehingga esok bagi membantu siasatan kes meneroka hutan simpan kekal (HSK) di Batu Talam, Raub, yang dikatakan bagi tujuan menanam durian Musang King.

Peguam, Samantha Chong Yin Xin, yang mewakili semua suspek berusia lingkungan 17 hingga 60 tahun, ketika dihubungi, berkata perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Raub, Yusri Wanu Suki, pada prosiding di Mahkamah Majistret Raub, hari ini.

Pada prosiding itu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), diwakili pegawai penyiasat Asmadi Mohd, memohon tempoh reman selama empat hari atas alasan pihaknya memerlukan lebih masa bagi merekodkan kenyataan kesemua suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Mohd Yusri Othman, pula mengesahkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu antara 19 individu ditahan polis, semalam, atas dakwaan menghalang tugas penjawat awam dan melakukan khianat semasa operasi memusnahkan kebun durian.

Bagaimanapun, beliau berkata ADUN berkenaan dan semua individu yang ditahan polis, pada 11.30 pagi Ahad, dibebaskan dengan jaminan polis awal pagi tadi.

“Saya difahamkan 18 suspek yang lain ditahan oleh JPNP bagi tujuan reman untuk membantu siasatan pihak berkenaan berhubung pencerobohan hutan simpan,” katanya semasa dihubungi Bernama, hari ini.

Difahamkan, ADUN itu tidak direman kerana beliau tidak berada dalam kawasan HSK semasa operasi memusnahkan kebun durian terbabit.

Yusri berkata, siasatan bagi dakwaan menghalang penjawat awam dilakukan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, siasatan berhubung dakwaan khianat pula dibuat mengikut Seksyen 427 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, JPNP menerusi kenyataan kepada media, memaklumkan operasi memusnahkan kebun durian haram membabitkan kawasan seluas 101.17 hektar dalam HSK Batu Talam berdepan provokasi pihak terbabit menyebabkan mereka merekodkan video dan membuat laporan polis.

“Operasi itu tertumpu kepada tindakan memusnahkan semua durian ditanam secara haram dan tangkapan serta sitaan barang serta kenderaan akan dibuat terhadap mereka yang masuk ke kawasan HSK tanpa kebenaran,” menurut kenyataan itu.

JPNP juga memaklumkan operasi itu tidak melibatkan kawasan seluas 2,167 hektar di sekitar Raub yang menjadi subjek dalam kes mahkamah yang belum selesai antara 110 pekebun dengan enam pihak termasuk Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.