
Hanif Omar berkata, ia adalah satu “undang-undang yang tidak dapat dijelaskan” yang diwarisi Malaysia daripada England.
Beliau yang memegang jawatan itu selama 20 tahun berkata, mereka yang cuba membunuh diri mengalami tekanan mental yang amat teruk atau menderita akibat menanggung kesakitan fizikal.
“Apakah kebaikan yang diperolehinya atau masyarakat untuk menekannya dengan perbicaraan kes jenayah, denda atau penjara?

“Apakah yang dilakukannya hingga menjejaskan masyarakat? Adakah layanan terhadap dirinya ini menyebabkan orang yang lain yang hidup tertekan, berhenti cuba menamatkan riwayat mereka? Saya tidak rasa begitu,” katanya kepada FMT.
Hanif berkata, sekiranya ada, masyarakat harus membantu mereka yang cuba membunuh diri untuk mengatasi masalah dihadapi.
Beliau berkata “peguam negara beberapa tahun lalu” sudah menghentikan pendakwaan terhadap kes seperti itu.
Bagaimanapun katanya, tindakan membantu perbuatan bunuh diri harus kekal sebagai satu kesalahan.

Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Hannah Yeoh melabelkan undang-undang yang menjadikan perbuatan bunuh diri satu jenayah adalah sebagai “kuno”. Beliau berkata, ia lebih berkaitan ketika ini disebabkan berlakunya krisis kesihatan.
Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pernah meneliti perkara itu sebelum ini untuk tidak menjadikan kes bunuh diri sebagai satu jenayah.
“Isu kesihatan mental memerlukan sokongan perubatan, bukan pendakwaan..ia seperti (bagaimana) kita melayan mereka yang tidak sihat, berbanding menahan mereka dan dihantar ke penjara,” katanya.
Yeoh berkata, Malaysia tidak mempunyai data kes bunuh diri yang penting dalam menangani isu berkenaan.
Dengan cara itu katanya, pembuat dasar akan tahu bagaimana untuk menyalurkan dana kepada pihak berkepentingan terbabit kerana “semuanya adalah mengenai data”.
Mengulangi permintaannya untuk mewujudkan data itu, beliau berkata, tanpanya, respons kerajaan akan bersifat ad hoc tanpa perancangan teliti.
Semalam, ahli Gabungan Kebangsaan untuk Kesejahteraan Mental (NCMW) M Ramachelvam menggesa Putrajaya supaya menangguhkan pendakwaan terhadap mereka yang cuba membunuh diri.
Katanya, moratorium terhadap Seksyen 309 Kanun Keseksaan, yang menjadikan perbuatan bunuh diri sebagai jenayah, dianggap “amat penting” ketika pandemik ini yang menunjukkan peningkatan bilangan kes bunuh diri.