Kerajaan lupus sebahagian besar hutang peneroka bernilai RM8.3 bilion

Kerajaan lupus sebahagian besar hutang peneroka bernilai RM8.3 bilion

Perdana Menteri berkata, ini dapat mengurangkan bebanan pinjaman yang ditanggung peneroka sebanyak purata 80% setiap seorang.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, pelupusan bersyarat berkenaan merangkumi pelarasan sebahagian baki pinjaman tanam semula sehingga 31 Disember 2019 berjumlah RM8.0 bilion yang akan memanfaatkan 92,441 peneroka.
PETALING JAYA:
Kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat terutama bagi generasi awal.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, pelupusan bersyarat berkenaan merangkumi pelarasan sebahagian baki pinjaman tanam semula sehingga 31 Disember 2019 berjumlah RM8 bilion yang akan memberi manfaat kepada 92,441 orang peneroka, meliputi 82% daripada jumlah keseluruhan 112,638 peneroka.

Menerusi inisiatif “penjanaan semula” itu juga, Muhyiddin berkata, pelarasan membabitkan sebahagian baki tunggakan pinjaman baja sehingga 31 Disember 2019 berjumlah RM168 juta melibatkan 52,180 peneroka, meliputi 46% warga peneroka.

Kerajaan juga bersetuju melaksanakan pelarasan sepenuhnya baki pinjaman saham FGV Holdings Bhd sehingga 7 Julai bernilai RM78 juta melibatkan 38,043 peneroka, meliputi 34% individu.

“Di bawah inisiatif ini juga kerajaan melaksanakan pelarasan sepenuhnya baki pinjaman pembangunan asal sehingga 31 Disember 2019 berjumlah RM56 juta yang akan dinikmati 6,711 peneroka, kira-kira 6% warga peneroka,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda 2021 Peringkat Kebangsaan secara maya.

Dengan strategi ini, beliau berkata, bebanan pinjaman yang ditanggung peneroka akan berkurangan sebanyak purata 80% setiap peneroka.

“Purata bayaran balik pinjaman pula dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 hingga RM1,000 kepada hanya RM250 hingga RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah, iaitu satu kadar yang sangat munasabah dan mampu dibayar,” katanya.

Muhyiddin berkata, penjanaan semula ini penting untuk Felda bangkit setanding dengan syarikat perladangan terkemuka dunia selepas kerajaan mengenal pasti isu hutang yang membelenggu peneroka Felda dan pewaris sejak sekian lama mampu merencatkan visi tersebut.

“Isu hutang ini harus diperbetulkan dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau ‘restart’ Felda,” tegasnya.

Di bawah strategi “pemerkasaan”, perdana menteri berkata, kerajaan juga bersetuju meluluskan penerbitan sukuk jaminan kerajaan bernilai RM9.9 bilion bagi menambah baik model perniagaan Felda.

“Sebahagian terbitan sukuk ini sedang digunakan untuk menstruktur semula pinjaman dengan institusi kewangan serta untuk mengambil alih FGV Holdings Berhad (FGV).”

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, peningkatan penglibatan Felda dalam industri hiliran yang mempunyai nisbah keuntungan lebih tinggi juga akan membolehkan syarikat berkenaan mencapai sasarannya untuk kembali mencatat keuntungan menjelang 2023.

Selari dengan agenda nasional ke arah Revolusi Industri 4.0, beliau berkata, Felda sudah mula melaksanakan sistem pertanian pintar bagi menguruskan 458,000 hektar ladangnya dan peneroka di seluruh negara dengan menggunakan konsep pertanian jitu atau “precision agriculture”.

“Dengan kerjasama warga Felda, sistem ini mampu menambah baik operasi perladangan menerusi pemantauan dan pengumpulan maklumat lebih terperinci, dan menjimatkan kos operasi sehingga lebih RM200 juta dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Seterusnya di bawah strategi ketiga, iaitu “penyusunan semula”, Muhyiddin berkata, Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang dirangka khusus untuk menggalakkan warga Felda menceburi bidang keusahawanan diyakini dapat mengurangkan kebergantungan kepada kitaran harga komoditi serta dapat mempelbagaikan sumber pendapatan warga Felda.

Katanya, pendekatan baharu itu akan menjadikan Felda sebagai satu contoh rangka tindakan untuk pembangunan luar bandar akan datang, sejajar dengan visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

“Dengan memiliki bank tanah pertanian yang luas, adaptasi kemahiran dalam pertanian pintar serta inisiatif Program Pembangunan Peneroka yang diperkenalkan, saya percaya Felda berada di posisi terbaik untuk menjadi peneraju utama sektor pengeluaran makanan negara dalam tempoh sedekad ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.