Petugas ibadah korban di Selangor akan diberi vaksin menjelang Aidiladha, kata exco

Petugas ibadah korban di Selangor akan diberi vaksin menjelang Aidiladha, kata exco

Ini akan dilakukan menerusi program SelVAX, kata Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Izham Hashim.

SHAH ALAM:
Petugas yang terlibat dalam ibadah korban di Selangor tahun ini akan diberi keutamaan menerima vaksin Covid-19 menjelang Aidiladha pada 20 Julai ini, kata Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Izham Hashim.

Beliau berkata, pihaknya telah memaklumkan Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud supaya menyegerakan proses pemberian vaksin kepada mereka yang belum menerimanya menerusi program Vaksin Selangor (SelVAX) bagi mengelakkan penularan Covid-19 di lokasi ibadah korban.

“Kita juga telah menghubungi pengurusan masjid di Selangor untuk menyenaraikan semua petugas yang belum divaksin dan kerajaan negeri akan memberi vaksin terlebih dahulu kepada mereka sebelum 20 Julai depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan korban Negeri Selangor 2021 di sini hari ini.

Katanya, pemberian vaksin kepada petugas ibadah korban adalah inisiatif pihaknya dalam melengkapi prosedur operasi standard (SOP) ibadah korban yang ketat dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat.

Terdahulu, Izham memaklumkan sebanyak RM5.05 juta peruntukan hasil sumbangan sembilan anak syarikat kerajaan negeri disalurkan untuk program korban Negeri Selangor.

Program itu, katanya, akan melibatkan 670 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing yang akan diagihkan antaranya kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk diedarkan kepada masjid-masjid di kawasan mereka sempena Aidiladha tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.