Poster MB Perak: Polis rakam percakapan Fahmi Reza

Poster MB Perak: Polis rakam percakapan Fahmi Reza

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya akan merujuk timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya.

Ketua Pemuda Umno Perak Mohd Ariff Abdul Majid membuat laporan polis terhadap pereka grafik dan aktivis Fahmi Reza pada 17 Jun lepas. (Gambar Pemuda UMNO Perak)
TANJUNG MALIM:
Polis sudah merakam percakapan pereka grafik dan aktivis Fahmi Reza berhubung poster Menteri Besar Perak Saarani Mohamad yang dimuat naik di akaun Facebook dan Twitternya baru-baru ini.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, keterangan diambil oleh pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur dengan kehadiran peguam yang mewakili Fahmi Reza minggu lepas.

“Kita akan merujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya,” katanya pada sidang media di IPD Muallim di sini, hari ini.

Pada 17 Jun lepas, Ketua Pemuda Umno Perak Mohd Ariff Abdul Majid membuat laporan polis di IPD Kuala Kangsar berhubung poster berkenaan yang disifatkan sebagai fitnah dan sengaja menimbulkan kebencian terhadap Menteri Besar Perak.

Mohd Ariff dilaporkan berkata, poster yang dimuat naik pereka grafik itu di laman sosialnya “Fahmi Reza”, menjadi tular bersama kapsyen berbunyi “kita dah bagi makan sardin, jangan gatal nak mintak ayam pulak” mengundang kecaman dan maki hamun pengguna media sosial yang lain.

Sementara itu, Mior berkata, polis Perak akan terus meningkatkan kawalan yang ketat di sempadan daerah dan negeri bagi mengelakkan pergerakan tanpa kebenaran terutama untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha minggu depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.