
Azmiza Azmi, 51, dipercayai gagal menyelamatkan diri kerana berada dalam keadaan uzur selain berseorangan ketika kejadian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.32 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian, iaitu di Kampung Bohor, Hutan Kampung, kira-kira sembilan minit kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi, kita dapati api sudah marak hingga 70% dan anggota bomba mengambil masa kira-kira tujuh minit untuk memadamkan kebakaran.
“Proses pencarian telah menemui mangsa dalam keadaan rentung di dalam bilik mandi,” katanya menurut laporan Bernama.
Beliau berkata, rumah satu tingkat itu terbakar 80%, selain sebuah kereta dan dua motosikal yang berada di rumah turut terbakar antara 80 hingga 100%.
“Jumlah kerugian masih belum diketahui dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Azmi Zain, 71, berkata dia tinggal di rumah berkenaan bersama Azmiza dan seorang lagi anaknya, Fazrul Hisham, 31.
Katanya, sebelum kejadian, dia keluar berjumpa rakannya untuk mengajak menemaninya ke Pusat Pemberian Vaksin Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti untuk menerima vaksin pada 2.30 petang.
“Sebelum keluar, anak sulung saya ini (Azmiza) sedang tidur, Fazrul Hisham juga keluar. Jadi, hanya Azmiza di rumah semasa kejadian.
“Masa dalam perjalanan pulang ke rumah, memang ada nampak kepulan asap tetapi tidak tahu dari mana datangnya. Sebaik sampai, saya terkejut melihat rumah sendiri yang terbakar,” katanya.