
Maha Balakrishnan berkata, negara seperti UK dan Australia menetapkan waktu yang sepatutnya digunakan bagi urusan kerajaan, untuk membincangkan usul serta RUU yang penting – sekalipun bertentangan dengan parti pemerintah – kerana itu budaya Parlimen di negara berkenaan.
Katanya, perkara itu wajar dicontohi dan beliau menggesa Parlimen memperuntukkan masa untuk mendengar usul serta RUU oleh “backbencher” atau Ahli Parlimen pembangkang.
Maha berkata, lebih lama persidangan mungkin membolehkan lebih banyak soalan lisan dikemukakan, namun berpandangan keutamaan perlu diberikan kepada kualiti, bukannya kuantiti perkara yang dibincangkan.
“Sewajarnya lebih banyak masa diberikan untuk soalan lisan selain peluang mengusulkan RUU bukan kerajaan.
“Tiada gunanya mengadakan sidang berlanjutan jika hanya membincangkan isu kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada sidang Parlimen lebih lama adalah lebih baik dalam forum dianjurkan Jeffrey Sachs Center, Universiti Sunway, hari ini.
Maha yang juga penulis bersama buku Malaysian Parliamentary Procedure: A Guide to the Standing Orders of the Dewan Rakyat berkata, berdasarkan data yang ada, cuma 56 sidang Parlimen diadakan antara 2013 hingga 2017, berbanding 77 antara 2000 hingga 2010.
Pada 2018, jumlah persidangan mencecah 70 manakala 68 sidang diadakan pada tahun berikutnya.
Katanya, ini kurang daripada separuh yang diadakan di UK dan Kanada yang menggunakan sistem Parlimen serupa.
Beliau berkata, satu lagi perkara perlu diberi perhatian adalah masa diberikan kepada Ahli Parlimen untuk mempertimbangkan undang-undang yang perlu diluluskan.
Menurutnya, ini kerana Ahli Parlimen sebenarnya tidak cukup masa untuk meneliti undang-undang diusulkan atau berbincang dengan pihak berkepentingan yang relevan sebelum RUU dibacakan untuk kali kedua.
Maha berkata, jawatankuasa pilihan khas Parlimen (JPK) perlu memainkan peranan lebih penting, termasuk membantu mengubah persepsi dalam kalangan pengundi yang menilai Ahli Parlimen semata-mata berdasarkan sejauh mana mereka “dilihat” di kawasan masing-masing.
Katanya, pemerkasaan JPK selama dua tahun, selain memberi lebih masa kepada Ahli Parlimen pembangkang akan dapat mengubah persepsi orang ramai mengenai tugas sebenar golongan yang dipilih mewakili mereka itu.
Maha berkata, Parlimen secara umum patut mengubah persepsi orang bahawa ia berkhidmat untuk kerajaan pemerintah.
Sebaliknya, ia patut berkhidmat untuk semua Ahli Parlimen tanpa mengira haluan politik mereka dengan menyediakan khidmat sokongan dan sumber yang turut diberikan kepada kerajaan.
Sementara itu dalam forum sama, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata, JPK patut dibenarkan bersidang terutama berhubung isu berkaitan dengan Covid-19 supaya pakar akademik serta kesihatan dapat membincangkan laporan kemajuan, vaksinasi dan perkara berkaitan lain.
Pengerusi JPK Kesihatan, Sains dan Inovasi itu berkata, badan berkenaan memainkan peranan penting dalam menetapkan hala tuju dasar berkaitan dengan wabak pada masa akan datang.
Yii berkata, Speaker Parlimen telah menulis kepadanya dengan berkata, JPK berkenaan boleh diadakan asalkan tidak melanggar sebarang undang-undang sedia ada.