
Semua wanita terbabit yang mendakwa dijanjikan pekerjaan menarik di negara timur tengah terutamanya Jordan dan Dubai diselamatkan dalam dua operasi berasingan di daerah berkenaan pada 8 dan 9 Julai.
Pengarah Imigresen Sabah Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, serbuan dijalankan di sebuah rumah tidak bernombor berhampiran Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna dan sebuah lagi rumah atas air di Kampung Terusan Hujung Batu, Pulau Bum-Bum.
Katanya, semua wanita terbabit diselamatkan dalam operasi Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).
“Hasil pemeriksaan lanjut, pihak kami berjaya menyelamatkan sembilan mangsa wanita berusia 25 hingga 40 tahun.

Muhamad Sade berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dikenakan bayaran sehingga RM13,000 bagi setiap perkhidmatan dan ketiga-tiga anggota sindiket pemerdagangan orang terbabit kini ditahan di Depot Tahanan Imigresen Papar.
Katanya, mangsa sindiket pula ditempatkan di Pusat Perlindungan Wanita Kota Kinabalu dan semua mangsa serta suspek ditahan akan menjalani proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan Covid- 19.
“Semua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti pemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dari 15 tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya,” katanya.