SUHAKAM siasat 4 kes kematian dalam tahanan

SUHAKAM siasat 4 kes kematian dalam tahanan

Tiga daripadanya di bawah Jabatan Penjara dan satu lagi kematian di bawah polis.

Dua belas kematian dalam tahanan dilaporkan sejak 1 Jan tahun ini. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) memulakan siasatan ke atas empat lagi kes kematian dalam tahanan.

Pesuruhjayanya, Jerald Joseph berkata, mereka menyiasat tiga kematian tahanan di bawah Jabatan Penjara dan satu kematian di bawah polis.

Tiga kematian di bawah Jabatan Penjara membabitkan Surendran Shanker di Penjara Simpang Renggam, Johor pada 27 Mei; Roopan Karnagaran di Penjara Kajang pada 21 Jun dan seorang tahanan warga Nepal di Penjara Kluang pada 30 Mei lalu.

Kes keempat membabitkan S Sivabalan, yang meninggal dunia ketika berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak pada 20 Mei lalu.

Sebanyak 12 kematian dalam tahanan dilaporkan sejak 1 Jan tahun ini.

Jerald Joseph.

“Bukan semua kes disebabkan penyeksaan atau penderaan oleh pihak berkuasa. Kadangkala ia disebabkan kecuaian kesihatan dan kegagalan mematuhi prosedur mahkamah,” kata Joseph dalam sidang media maya hari ini.

Selain kematian dalam tahanan, SUHAKAM turut membentangkan penemuannya dalam isu lain, iaitu penahanan pembela hak asasi manusia dan hal berkaitan pelarian dan pencari suaka.

Joseph mendapati sejak 1 Jan 2020, pihak berkuasa menyiasat beberapa ahli politik, aktivis dan wartawan di bawah Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ini termasuk penahanan aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza berhubung karyanya dan siasatan sebuah animasi pendek berjudul “Chilli powder & Thinner” yang menggambarkan dakwaan kekejaman polis.

“Kerajaan perlu mengiktiraf kerja berkaitan hak asasi manusia sebagai “perlu” ketika pandemik Covid-19.

“Kerajaan perlu menghormati kebebasan bersuara dan pihak berkuasa tidak boleh membataskan hak ini dengan menggunakan undang-undang seperti Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.”

Katanya, SUHAKAM menerima 15 aduan daripada pemegang status pelarian berhubung penempatan di tiga negara.

Menurut pengadu, mereka sudah menghadiri temuduga Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk proses penempatan sejak 2015, tetapi tidak menerima sebarang maklum balas atau keputusan.

Katanya, kelewatan itu disebabkan oleh kuota penempatan terhad di negara terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.