
Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata, hukuman tahanan dijatuhkan setelah mengambil kira keadaan kes itu dan mendengar faktor-faktor boleh meringankan hukuman atau sebaliknya sebagaimana yang dihujahkan peguam.
“Hukuman penjara sebulan bermula hari ini,” katanya.
Lokman mengancam Amhari Efendi Nazaruddin ketika beliau dalam proses memberi keterangan dalam perbicaraan tersebut pada 2019.
Mahkamah bagaimanapun mengizinkan Lokman menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Sequerah memerintahkannya membayar bon RM3,000 dengan seorang penjamin.
Terdahulu, hakim berkata, tertuduh mengancam Amhari dan ada kemungkinan saksi pendakwaan lain turut diganggu.
“(Perilaku) ini sama dengan campur tangan dalam pelaksanaan undang-undang,” kata Sequerah dalam keputusan lisannya.
Beliau berkata, Lokman tiada hak menentukan sama ada Amhari bercakap benar atau sebaliknya ketika memberi keterangan.
Tambahnya, Lokman juga mempunyai niat jahat (mala fide) apabila membuat laporan polis dan kemudiannya mengeluarkan kenyataan media ketika Amhari masih memberi keterangan.
Tiada ambiguiti dalam tuduhan menghina mahkamah yang dikemukakan terhadap Lokman, katanya lagi.
Ketika mitigasi, peguam Lokman, Muhammad Shafee Abdullah menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman selain tahanan disertai denda.
Katanya, ini adalah kesalahan Lokman yang pertama, malah kesalahan ini bersifat teknikal kerana anak guamnya itu membuat laporan polis agar polis menyiasat apa yang diperkatakan Amhari di mahkamah.
Shafee berkata, tiada ancaman berbentuk fizikal terhadap Amhari dan saksi berkenaan juga tidak membuat sebarang aduan rasmi.
Pendakwa raya ad hoc Gopal Sri Ram berkata, Lokman bersikap degil dan tidak menunjukkan rasa menyesal.
Katanya, tertuduh bukan sahaja membuat laporan polis, malah mendedahkan isi kandungannya kepada pihak media.
“Dia patut diberikan hukuman tahanan kerana memburukkan lagi situasi itu,” katanya.
Sri Ram berkata, kegagalan mahkamah untuk bertindak akan mengakibatkan saksi lain pada masa hadapan akan turut ditakut-takutkan dan diganggu.
“Mahkamah perlu melindungi saksi yang rentan,” kata Sri Ram ketika mengingatkan mahkamah bahawa Lokman adalah penyokong kuat Najib.
Pada 22 Okt 2019, Sequerah memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas, memulakan prosiding komital terhadap Lokman.
Lokman membuat laporan polis yang mencabar kredibiliti Amhari sebagai saksi berikutan pengakuannya di kandang saksi bahawa dia menerima pinjaman ASD200,000 daripada ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho (Jho Low).
Menurut pihak pendakwaan, dalam satu temu bual video pada 25 Sept 2019 Lokman juga menyerang integriti Peguam Negara.