58 kes positif Covid-19 libat kakitangan, pesakit, keluarga di Hospital Alor Gajah

58 kes positif Covid-19 libat kakitangan, pesakit, keluarga di Hospital Alor Gajah

Exco Kesihatan Melaka Rahmad Mariman berkata, Kluster Paya Datuk itu turut melihat lima kematian melibatkan pesakit berusia lebih 60 tahun.

Hospital Alor Gajah menerima dan merawat pesakit Covid-19 sejak dua minggu lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sebanyak 58 kes positif Covid-19 dikesan melibatkan Kluster Paya Datuk merangkumi petugas dan pesakit Hospital Alor Gajah, Melaka, serta ahli keluarga mereka dalam tempoh seminggu ini.

Exco Kesihatan Melaka Rahmad Mariman dipetik Bernama berkata, daripada jumlah itu, 16 individu membabitkan petugas hospital itu, 32 orang adalah pesakit, manakala ahli keluarga melibatkan 10 orang.

Menurutnya, lima kematian dilaporkan di bawah kluster tersebut melibatkan pesakit berusia lebih 60 tahun, manakala kes masih dalam siasatan untuk disahkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Hospital Alor Gajah telah mula menerima dan merawat pesakit Covid-19 sejak dua minggu lepas dengan menyediakan 10 katil untuk pesakit wabak berkenaan dan satu katil unit rawatan rapi (ICU).

“Pada 10 Julai lepas, dua kes Covid-19 melibatkan kakitangan Wad 2A Hospital Alor Gajah dilaporkan dan punca jangkitan penularan kes masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata susulan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka menerusi pihak pengurusan Hospital Alor Gajah telah mengambil beberapa tindakan segera bagi membendung penularan jangkitan berkenaan termasuk menjalankan aktiviti pengesanan dan saringan kontak.

Katanya kemasukan pesakit ke Wad 2A dan 2B ditangguhkan sehingga kerja-kerja sanitasi selesai dilakukan dan keadaan penularan adalah terkawal.

Rahmad berkata selain itu, semua kes bukan Covid-19 yang perlu mendapatkan rawatan lanjut akan dirujuk ke Hospital Melaka dan Hospital Angkatan Tentera di Kem Terendak.

“Pesakit kes ringan dan bukan kecemasan digalakkan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Alor Gajah yang beroperasi sehingga 9.30 malam pada hari bekerja, dan klinik berhampiran. Namun perkhidmatan kes kecemasan masih diteruskan di hospital tersebut,” katanya.

Katanya pihaknya berharap penularan jangkitan Covid-19 di Hospital Alor Gajah akan dapat dikawal segera menerusi langkah kawalan dan pencegahan yang dilakukan pengurusan hospital tersebut.

Dalam pada itu, katanya, semua pihak juga digesa sentiasa mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan, berada di rumah dan patuh pada amalan norma baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.