Jika mahu menang besar, Umno mesti kerjasama dengan parti Melayu, kata Shahidan

Jika mahu menang besar, Umno mesti kerjasama dengan parti Melayu, kata Shahidan

Ahli Parlimen Arau berkata cadangannya untuk terus berbincang dengan PN adalah berdasarkan keadaan di Perlis.

PETALING JAYA:
Umno perlu berganding bahu dengan parti Melayu lain, terutama Bersatu dan PAS untuk memastikan kemenangan besar dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim.

Bercakap kepada FMT, Shahidan berkata, pandangan dan cadangannya supaya Umno terus berbincang dengan dua parti Melayu dalam Perikatan Nasional (PN) itu berdasarkan keadaan di Perlis, iaitu antara beberapa negeri di mana Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan dalam pilihan raya lalu.

“Pada saya, jika mahu menang besar, kita (parti Melayu) mesti bekerjasama.

“Jika kita meneruskan secara berasingan, akan berlaku perpecahan antara parti Melayu, dan orang lain mungkin mengambil kesempatan,” katanya, dengan menambah tidak salah berbincang dengan PN memandangkan Umno sebahagian daripada pentadbiran terkini.

Shahidan yang juga bekas Menteri Besar Perlis berkata, beliau telah menulis tesis sebelum PRU ke-13 berdasarkan keadaan di Fiji.

“Penduduk mereka merangkumi kira-kira 60% penduduk asal dan 40% berbangsa India.

“Penduduk asal mempunyai 16 parti manakala cuma satu parti India, namun mereka yang memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan,” katanya, merujuk kepada pentadbiran bawah Mahendra Chaudhry pada 1997.

Shahidan berkata, ini mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk asal, seterusnya membawa kepada beberapa rampasan kuasa. Seterusnya, katanya, begitu juga di Malaysia iaitu wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Melayu apabila parti bukan Melayu yang berkuasa selepas PRU14.

Katanya, dakwaan segelintir pemimpin bahawa semua akar umbi Umno menentang kerjasama dengan PN tidak tepat, kerana sentimen di setiap negeri mungkin berbeza-beza.

“Negeri saya adalah negeri pemenang, sentimen akar umbi di negeri lain pula saya tidak tahu. Di Perlis kami menganggap perlu bekerjasama.”

Beliau berkata, sebarang kritikan terhadap cadangannya patut datang dari dalam Perlis, sebaliknya menganggap tidak wajar jika ia disuarakan dari negeri lain kerana akar umbi yang berbeza.

“Saya mahu menang besar dengan majoriti lebih baik,” katanya sambil menambah, ketika PRU14, beliau antara Ahli Parlimen BN yang paling tinggi majoritinya di Perlis, selain antara yang tertinggi di negara ini.

Utusan Malaysia memetik Shahidan berkata, Umno dan BN perlu membuka pintu rundingan dengan PN dalam menghadapi PRU15, memandangkan Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri kerajaan PN.

“Umno sedar jika bergerak bersendirian dalam pilihan raya, mustahil akan menang melainkan menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik.

“Jadi, jika tidak bersama Bersatu dan PAS dalam PN, adakah hendak bekerjasama dengan PKR dan DAP?” soalnya, sambil mengingatkan pemimpin Umno supaya bersifat jujur dan jangan membohongi rakyat.

Umno telah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu, PKR dan DAP pada PRU15.

Shahidan turut mendakwa hanya lima daripada 42 Ahli Parlimen BN bersetuju dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Katanya, 37 yang lain kekal menyokong kerajaan PN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.