Didakwa seleweng wang RM1 juta milik Bersatu, Syed Saddiq mengaku tak bersalah

Didakwa seleweng wang RM1 juta milik Bersatu, Syed Saddiq mengaku tak bersalah

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berdepan satu tuduhan bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah.

KUALA LUMPUR:
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyeleweng wang RM1 juta milik Pemuda Bersatu.

Beliau berdepan satu tuduhan di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah jenayah kerana didakwa mengeluarkan wang parti berjumlah RM1 juta dari bank tanpa mendapat kebenaran Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Jika didapati bersalah, beliau berdepan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan sebatan, selain perlu membayar denda.

Timbalan Pendakwa Raya Faridz Gohim Abdullah meminta hakim Azura Alwi mengenakan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin ke atas Syed Saddiq.

Katanya, nilai ini adalah “munasabah” untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah.

“Nilai jaminan perlu menunjukkan keberatan kesalahan itu. Kes ini melibatkan pemimpin politik dan akan mendapat liputan media meluas.

“Kami juga menggesa mahkamah memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya sementara menunggu kes selesai,” kata Faridz.

Tambahnya, Syed Saddiq juga perlu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali.

Faridz turut meminta mahkamah menjatuhkan perintah melarang Syed Saddiq memberi komen mengenai kes ini atas alasan subjudice.

Peguam Syed Saddiq, Gobind Singh Deo membantah nilai jaminan diminta pihak pendakwaan dengan berkata, nilai itu terlalu tinggi.

“Jika kesalahan ini serius seperti yang didakwa pihak pendakwaan, mengapa beliau hanya didakwa sekarang? Izin untuk mendakwa ditandatangani pada Januari dan beliau hanya didakwa sekarang, iaitu beberapa hari sebelum Parlimen bersidang semula?

“Tiada aduan beliau mengganggu bakal saksi. Ini adalah tuduhan liar,” katanya, sebelum meminta jaminan sebanyak RM300,000.

Gobind turut memberitahu mahkamah bahawa tiada alasan bagi pihak pendakwaan meminta “perintah menyeluruh” bagi melarang Syed Saddiq bercakap tentang kesnya, sambil menambah, tertuduh berhak membela diri.

Seorang lagi peguam Syed Saddiq, Ambiga Sreenevasan berhujah bahawa permohonan perintah larangan (“gag order”) terhadap Syed Saddiq bercanggah dengan hak kebebasan bersuara baginya.

Selain, Gobind Singh Deo dan Ambiga Sreenivasan, Syed Saddiq turut diwakili Haijan Omar.

Azura membenarkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin ke atas Syed Saddiq.

Beliau turut mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sementara menunggu kes selesai, selain melapor diri ke pejabat SPRM sebulan sekali seperti yang diminta pihak pendakwaan.

Bagaimanapun Azura berkata, perintah larangan tidak perlu dikeluarkan.

Gobind meminta mahkamah memberi pihak pembelaan hingga Selasa depan untuk membayar jaminan RM300,000 berkenaan dan mahkamah mengizinkan.

Azura menetapkan 10 Sept untuk sebutan semula kes selepas Faridz memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan mahu memindahkan kes Syed Saddiq di Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.