Jaga maruah, jangan lompat kerana ‘ugut’, pesan Syed Saddiq kepada Ahli Parlimen

Jaga maruah, jangan lompat kerana ‘ugut’, pesan Syed Saddiq kepada Ahli Parlimen

Bekas menteri belia dan sukan itu mendakwa ada Ahli Parlimen lain sepertinya sedang menghadapi siasatan rasuah.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengingatkan Ahli Parlimen supaya jangan melompat parti kerana ‘diugut’
KUALA LUMPUR:
Bekas menteri, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa ada Ahli Parlimen lain sepertinya yang dipanggil pihak berkuasa bagi siasatan rasuah dan menggesa mereka tidak tunduk kepada tekanan bermotif politik sedemikian.

Bercakap kepada pemberita selepas membayar jaminannya bagi tuduhan pecah amanah jenayah, Ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau dimaklumkan ketika berada di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) bahawa ada Ahli Parlimen lain yang turut dipanggil oleh pihak berkuasa.

“Ada yang dijadualkan (menemui SPRM) esok, ada yang ditunda.

“Pesan saya pada mereka: Jangan sesekali kita tunduk pada mereka yang mengugut. Jangan awak takut. Berani kerana benar.

“Jangan kerana ‘ugut’ sebelum Parlimen (bersidang 26 Julai), kita terus sokong atau lompat. Kita ada maruah,” katanya.

Terdahulu, bekas menteri belia dan sukan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyelewengkan RM1.12 juta milik Pemuda Bersatu.

Daripada jumlah itu, RM120,000 dikatakan dana pilihan raya bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 2018, manakala RM1 juta pula didakwa dikeluarkannya dari bank tanpa mendapat kebenaran Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Syed Saddiq berkata, dua tuduhan itu tiada kaitan dengan tempoh ketika beliau dalam kerajaan.

“Dakwaan itu dikatakan berlaku selepas ‘Langkah Sheraton’ (23 Feb 2020) dan pada April 2018.

“Saya akan mencabar (tuduhan pecah amanah) dan membersihkan nama saya di mahkamah untuk membuktikan ia bermotif politik,” katanya.

Syed Saddiq berkata, beliau akan membuat siaran langsung di Facebook dan Instagram pada 8 malam ini untuk membuat “lebih banyak pendedahan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.