
Menerusi laporan tinjauan pengguna terbaharu, Fitch Solutions yang melakukan penyelidikan di bawah agensi penarafan antarabangsa, Fitch Group mempersoalkan keupayaan kerajaan Malaysia untuk membiayai pakej rangsangan semasa dan masa hadapan berikutan kekangan dihadapi.
Katanya, mana-mana pakej rangsangan yang akan diumumkan selepas ini mungkin lebih kecil berbanding tahun lalu yang memperlihatkan bantuan berjumlah RM305 bilion termasuk suntikan fiskal secara terus bernilai RM55 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito, berkata dia juga bimbang dengan rancangan jangka panjang kerajaan untuk membiayai pemberian bantuan, khususnya ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) masih berlarutan manakala situasi ekonomi rakyat dan perniagaan juga semakin terjejas.

“Strategi perlindungan bersasar yang digandingkan bersama pelaburan bersasar dalam penjagaan kesihatan dan penyelidikan farmaseutikal bukan hanya lebih murah tetapi juga boleh mengelakkan daripada menghancurkan ekonomi sehingga pakej bantuan tidak lagi diperlukan,” katanya kepada FMT.
Katanya, pada masa ini, peningkatan cukai bukan satu langkah bijak memandangkan ramai rakyat semakin tertekan.
Menurut Ferlito, pinjaman tambahan mungkin satu-satunya jalan keluar kerajaan walaupun ia menghampiri 60% ambang hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Kerajaan terpaksa menelan semua kesan negatif yang akan dirasakan dalam tempoh beberapa tahun lagi sebagai hasil kepada langkah menambah lebih banyak hutang,” katanya.
Ferlito berkata selepas pemulihan daripada pandemik, kerajaan perlu memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk menangani “isu kronik” terhadap asas cukai kecil.
“GST tidak sepatutnya dihapuskan sejak awal. Saya rasa terdapat persetujuan secara amnya untuk memperkenalkannya semula, mungkin pelbagai lapisan.
“Saya juga mencadangkan lebihan kutipan antara SST dan GST harus dibelanjakan sepenuhnya untuk memperkasakan sistem kesihatan,” katanya.
Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi (MUST) bersetuju bahawa langkah meminjam untuk membiayai pakej bantuan adalah pilihan sesuai sekiranya kerajaan mengalami kekangan, selain menjadi sumber wang yang baharu.

“Saya tidak fikir kesannya akan menjadi buruk sekiranya kadar pertumbuhan Malaysia selepas pandemik nanti melebihi kos pinjaman,” katanya.
Williams berkata suntikan fiskal secara terus merangkumi kurang daripada satu perlima daripada pemberian bantuan kerajaan kerana yang selebihnya datang daripada beberapa dasar seperti moratorium pinjaman dan pengeluaran wang Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).
Menurutnya, ia bermakna kerajaan sepatutnya mampu untuk membiayai bantuan selepas ini.
Dia berkata langkah memperluaskan asas cukai negara menerusi GST harus menjadi agenda jangka panjang serta penyesuaian kadar cukai yang selari dengan negara lain.
“Bagaimanapun, buat masa ini pembaharuan cukai bukanlah menjadi keutamaan kerana situasi agak kritikal untuk kebanyakan syarikat khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam semua sektor.
“Penekanan harus diberikan untuk menamatkan PKP segera. Kemudian aktiviti dan perolehan cukai akan meningkat dan keperluan kerajaan untuk mengadakan rangsangan juga akan berkurangan,” katanya.