Sultan Terengganu terima menghadap Ramanan

Sultan Terengganu terima menghadap Ramanan

Menteri Sumber Manusia R Ramanan mempersembahkan perkembangan terkini pembinaan Pusat Rehabilitasi Perkeso di Terengganu kepada Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sultan Mizan Zainal Abidin diberi taklimat perkembangan terkini pembinaan Pusat Rehabilitasi Perkeso di Terengganu oleh R Ramanan. (Gambar Kementerian Sumber Manusia)
PETALING JAYA:
Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menerima menghadap Menteri Sumber Manusia R Ramanan yang mempersembahkan perkembangan terkini pembinaan Pusat Rehabilitasi Perkeso di negeri itu.

Dalam pertemuan itu, Ramanan memberi taklimat mengenai kemajuan projek berkenaan yang dirancang untuk menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh sistem keselamatan sosial negara.

Menurut Ramanan, pusat itu bakal memberi fokus kepada aspek pemulihan dan kebolehkerjaan semula pencarum Perkeso yang mengalami kecederaan atau hilang upaya, khususnya buat rakyat Terengganu.

“Inisiatif ini bukan sekadar pusat rawatan, malah berperanan memperkasakan keupayaan rakyat untuk kembali aktif dalam pasaran pekerjaan setelah pulih,” katanya dalam kenyataan.

Ramanan turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Sultan Mizan terhadap kesejahteraan rakyat, serta sokongan baginda terhadap projek yang mampu meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat.

Beliau memberi jaminan Kementerian Sumber Manusia akan memastikan projek tersebut dilaksanakan mengikut jadual demi memberi manfaat optimum kepada golongan pekerja yang memerlukan.

Menurutnya, Pusat Rehabilitasi Perkeso di Terengganu itu aan memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan pemulihan yang komprehensif dan bersepadu.

“Ini selari dengan komitmen kerajaan untuk memperluas akses kepada kemudahan kesihatan dan perlindungan sosial yang berkualiti di Terengganu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.