Pemulihan operasi gas ambil 3 hingga 5 tahun jika perang tamat, kata Anwar

Pemulihan operasi gas ambil 3 hingga 5 tahun jika perang tamat, kata Anwar

Perdana menteri berkata ia mengambil masa untuk pembaikan kecil bagi membolehkan operasi itu berjalan semula.

Anwar Ibrahim berkata rakyat masih boleh mengisi minyak kenderaan tanpa gangguan dan tidak terjejas teruk seperti negara lain.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pemulihan operasi gas di rantau yang sedang bergolak tidak boleh berlaku dalam tempoh singkat, malah dianggarkan mengambil masa antara tiga hingga lima tahun walaupun konflik berakhir segera.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.

“Kalaupun selepas perang esok, menurut Sheikh Tamim, ia akan mengambil sekurang-kurangnya tiga tahun untuk kerja pembaikan kecil bagi membolehkan operasi gas berjalan semula.

“Mungkin tiga hingga lima tahun untuk prestasi penuh,” katanya pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Pengangkutan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan rakyat perlu memahami konsep bersyukur dalam konteks yang betul, khususnya ketika berdepan tekanan ekonomi dan isu kenaikan kos seperti diesel.

Namun katanya, sikap bersyukur tidak bermakna menafikan cabaran sebenar yang dihadapi rakyat.

“Ada yang kata dalam keadaan ekonomi susah, kita disuruh bersyukur. Ya, kita bersyukur kerana masih hidup, sihat dan keadaan negara tidak seteruk sesetengah negara lain.

“Kita belum beratur panjang di stesen minyak, belum ada ratusan stesen ditutup, dan belum sampai tahap rakyat terpaksa berjalan ke tempat kerja.

“Bersyukur itu dituntut, tetapi bukan bermaksud kita menafikan adanya ujian dan masalah dalam krisis ekonomi yang sedang kita lalui,” katanya.

Mengulas prestasi ekonomi semasa, Anwar berkata data terkini Bank Negara Malaysia menunjukkan kedudukan ekonomi negara berada pada tahap lebih baik daripada jangkaan.

Katanya, pertumbuhan ekonomi mencatatkan prestasi lebih kukuh daripada unjuran awal, pelaburan pula berada pada tahap tertinggi dalam sejarah, manakala kadar inflasi kekal antara yang terendah.

“Nilai ringgit juga menunjukkan antara prestasi terbaik di Asia,” katanya.

Mengenai pelarasan kuota petrol 300 liter kepada 200 liter sebulan, Anwar mengakui ada tekanan daripada sebahagian pihak supaya kerajaan melonggarkan dasar bagi meredakan beban rakyat dalam jangka pendek.

Namun, beliau menegaskan kerajaan tidak boleh membuat keputusan populis yang hanya memberi keselesaan sementara tetapi memberi kesan lebih besar pada masa depan.

“Dalam kabinet, kita boleh sahaja buat keputusan untuk menyenangkan semua buat sementara waktu, tetapi selepas itu rakyat akan menanggung beban yang lebih besar.

“Dasar yang diputuskan perlu mengambil kira cabaran semasa dan masa depan,” katanya.

Bermula 1 April lalu, kerajaan mengumumkan penyelarasan sementara kelayakan subsidi BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan susulan konflik di Asia Barat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.