
Pakar berkenaan mencadangkan persekitaran bandar yang lebih baik, pemerkasaan kepolisan komuniti, campur tangan awal bagi meredakan ketegangan dan program pengurusan kemarahan sebagai langkah alternatif selain hanya bergantung pada hukuman.
P Sundramoorthy daripada Universiti Sains Malaysia berkata, walaupun jenayah kekerasan sering dianggap sebagai sesuatu yang dirancang, banyak kejadian berlaku akibat dorongan emosi yang tercetus daripada kemarahan, ego atau konflik mengejut.
“Ia berlaku apabila orang bertindak melulu dalam situasi tegang dan keadaan menjadi luar kawalan,” katanya.
“Jika seseorang bertindak mengikut emosi, mereka mungkin tidak akan berhenti dan fikirkan akibatnya secara rasional.”
Pembuat dasar perlu membezakan antara kekerasan yang digunakan untuk mencapai matlamat tertentu, seperti rompakan, dan kekerasan yang tercetus secara impulsif semasa pertengkaran yang beremosi, seperti serangan fizikal, pergaduhan dan kes buli jalanan, di mana pelaku mungkin bertindak melulu tanpa memikirkan padahnya.
Seorang lagi pakar kriminologi, Haezreena Begum Abdul Hamid yang juga pensyarah kanan di Universiti Malaya berkata, hukuman semata-mata mungkin tidak memadai.
“Ia tidak secara automatik buatkan seseorang itu insaf atau bantu mereka fahami kerosakan yang telah mereka sebabkan,” katanya.
Beberapa kes, katanya, termasuk pertelingkahan domestik, pergaduhan dan kejadian lain yang didorong oleh kemarahan, mungkin tercetus secara tiba-tiba, manakala kes lain seperti rompakan, ragut, serangan asid dan keganasan bermotifkan dendam, lebih cenderung melibatkan perancangan dan niat.
Jelasnya, hukuman penjara mungkin masih diperlukan dalam sesetengah kes, terutamanya jika individu tersebut mendatangkan bahaya, namun hukuman penjara semata-mata tidak cukup melainkan ia digabungkan dengan pendidikan, sokongan dan pemulihan.
Sundramoorthy berkata, jenayah kekerasan sering tertumpu di persekitaran bandar yang mempunyai tahap tekanan yang tinggi; ruang yang sesak, memberi tekanan atau tidak diurus dengan baik boleh meningkatkan risiko konfrontasi ganas.
Beliau berkata, pencahayaan yang lebih baik, persekitaran yang lebih bersih dan penggunaan ruang awam secara lebih aktif dapat membantu mengurangkan risiko tersebut, terutamanya di kawasan kejiranan padat.
Kedua-dua pakar juga menekankan keperluan kepolisan komuniti yang lebih kukuh dan campur tangan awal bagi meredakan ketegangan sebelum sesuatu konflik berubah menjadi pergaduhan fizikal.
Haezreena berkata, usaha sebegini masih tidak menyeluruh dan amat bergantung kepada penyertaan masyarakat. Beliau juga menyokong agar lebih banyak program pengurusan kemarahan dan pengendalian konflik diadakan, khususnya untuk golongan belia.
“Kita perlu lebih banyak program seperti ini, terutamanya untuk membantu orang ramai uruskan kemarahan dan tangani konflik sebelum keadaan menjadi luar kawalan,” katanya.