
Ratusan doktor kontrak di seluruh negara yang berpakaian hitam keluar dari hospital dan kemudahan penjagaan kesihatan hari ini untuk mendesak jawatan tetap dalam sektor kesihatan awam, sebelum kembali melaksanakan tugasan mereka.
Polis dilihat berada di pelbagai lokasi malah di Kuala Lumpur, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah berkata siasatan akan dibuka terhadap mogok itu kerana tiada sesiapa dibenarkan terlibat dalam sebarang perhimpunan mengikut perintah kawalan pergerakan.
Bagaimanapun, peguam SN Nair berkata meninggalkan tempat kerja “bukanlah satu kesalahan jenayah dari segi undang-undang.”
“Jadi apa peruntukan undang-undang yang boleh digunakan polis untuk menguatkuasakan tangkapan doktor-doktor ini? Negara kita ada undang-undang. Polis bukan berkuasa sepenuhnya.”
Nair berkata, tiada peruntukan untuk menguatkuasakan tindakan terhadap doktor kontrak yang mogok hari ini mengikut Ordinan Darurat, yang telah dibatalkan pada 21 Julai lalu seperti diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan di Parlimen.
“Saya tidak nampak apa peruntukan yang mungkin boleh digunakan untuk mendakwa mereka,” katanya.
“Jika polis menahan (mereka yang mogok), perbuatan itu menyalahi undang-undang malah menjadi tangkapan dan penahanan salah.”
Sementara itu, pengamal undang-undang jenayah Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata doktor berkenaan sekadar melaksanakan hak mereka untuk memprotes dan menyuarakan rasa tidak puas hati. Beliau turut menegaskan, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan melindungi hak kebebasan berpendapat.
Katanya, mogok itu dilakukan dengan cara teratur dan tidak mengakibatkan sebarang kesusahan.
“Apa kesalahannya? Memang tiada,” katanya, dengan menambah doktor terlibat jelas tidak melanggar undang-undang.
Mogok yang dirancang pada 1 Julai itu bertujuan mendesak, antara lain, supaya doktor kontrak diberikan manfaat sama dengan mereka yang memegang jawatan tetap.
Antara mereka yang diberi amaran supaya tidak menyertai mogok itu termasuk petugas kesihatan di Hospital Serdang, dengan The Malaysian Insight melaporkan bahawa polis Cawangan Khas dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dikerahkan di hospital itu dan menahan mereka yang ingkar.
Terdahulu, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata beliau tidak mendapat sebarang maklumat bahawa mogok itu akan mengancam ketenteraman awam.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin minggu lalu menawarkan lanjutan kontrak dan cuti belajar bergaji penuh, namun kumpulan Hartal Doktor Kontrak berkata akan tetap meneruskan mogok selain menyifatkan penyelesaian pemimpin itu sebagai “separuh masak.”
Mohan Ramakrishnan, pengamal undang-undang tenaga kerja berkata doktor terlibat memang berhak untuk memprotes layanan tidak adil terhadap mereka.
Katanya, walaupun ramai rakyat Malaysia menghabiskan dua bulan lalu di rumah akibat sekatan pergerakan, petugas barisan hadapan terpaksa bekerja sehingga 12 jam atau lebih setiap hari disebabkan pandemik Covid-19, dan kini sudah “hilang sabar kerana asyik diketepikan.”
“Mereka menggadai nyawa untuk membantu negara, dan kerajaan patut membalas dengan kerjaya yang terjamin,” katanya.
“Apa gunanya berhempas pulas untuk negara sedangkan usaha itu seolah-olah tidak dihargai?”