Pengguna LRT tergamam, pintu tren terbuka ketika gerabak bergerak laju

Pengguna LRT tergamam, pintu tren terbuka ketika gerabak bergerak laju

Video berdurasi kurang 10 saat itu, memaparkan sebuah tren LRT yang bergerak dengan laju tanpa pintunya ditutup terlebih dahulu.

Tangkap layar video pengguna Twitter memaparkan sebuah tren LRT yang bergerak dengan laju tanpa pintunya ditutup terlebih dahulu. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Video tular memaparkan pintu sebuah tren Transit Aliran Ringan (LRT) tidak tertutup ketika sedang bergerak laju mengundang pelbagai reaksi warganet.

Menerusi perkongsian oleh pengguna Twitter dengan nama akaun, @perksofbeingsxf, video berdurasi kurang 10 saat itu, memaparkan sebuah tren LRT yang bergerak dengan laju tanpa pintunya ditutup terlebih dahulu.

Pemilik video itu juga sempat merakamkan reaksinya cemasnya ketika berada di dalam tren itu.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku kira-kira 3 petang semalam, dan tren tersebut dalam perjalanan dari stesen Ara Damansara menuju ke stesen Lembah Subang.

Bagaimanapun, tiada info lanjut yang diberikan oleh pihak Rapid KL. Video tersebut telah mendapat sekitar 171,000 tontonan pada jam 3 petang hari ini, selepas dua bulan insiden perlanggaran antara dua tren LRT yang mengakibatkan 47 penumpang cedera parah.

Seorang pelayar bernama @aniq8676, berkata situasi tersebut sangat berbahaya dan pengguna selepas ini perlu peka dengan memeriksa nombor tren jika ada masalah yang tak diingini berlaku.

“Bahaya itu, kita sebagai pengguna apa yang boleh buat adalah, sebelum naik tren boleh tengok nombor tren ataupun semasa di dalam tren boleh tengok nombor koc tren jika ada masalah yang tak diingini berlaku,” katanya.

Sementara itu, Rapid KL dalam kenyataan di Facebook memohon maaf susulan insiden berkenaan.
Katanya, perkhidmatan tren itu dihentikan dalam tempoh kurang dua minit kemudian ketika ia tiba di Stesen LRT Lembah Subang dan kemudian dihantar ke depot untuk pemeriksaan segera dan siasatan lanjut
Menurut Rapid KL, semua tujuh penumpang dalam tren ketika itu berjaya dikeluarkan dengan selamat dan siasatan terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Rapid KL memandang serius insiden itu dan pelan mitigasi sewajarnya akan dilaksana dalam usaha mengelak kejadian serupa berulang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.