
Beliau berkata, kerajaan juga sepatutnya memulangkan semula bayaran denda dikenakan ke atas rakyat kerana pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) selepas 21 Julai lalu.
Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan, tidak menyediakan “kepastian, kejelasan dan konsistensi” dalam pengumumannya di Parlimen semalam berhubung pembatalan Proklamasi Darurat serta ordinan berkaitan yang digazetkan.
Takiyuddin berkata, kerajaan membuat keputusan membatalkan Ordinan Darurat mengikut Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen pembangkang dan peguam berkata, pembatalan hanya dapat dibuat dengan perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong atau melalui undian di dua Dewan (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) di Parlimen.
Guan Eng berkata, keengganan memberi penjelasan sebenar menimbulkan keraguan adakah Ordinan Darurat mempunyai asas perundangan, termasuk keabsahan 2,200 notis kompaun yang dikeluarkan antara 21 Julai sehingga 25 Julai lalu.
“Sebelum kekeliruan perundangan ini diselesaikan, kerajaan sepatutnya memberi arahan kepada pihak berkuasa kembali kepada kompaun maksimum RM1,000 bagi pesalah individu atau RM10,000 kepada badan korporat, selain mengembalikan semula baki bayaran melebihi kadar itu selepas 21 Julai lalu,” katanya dalam kenyataan.