
Gobind Singh Deo (PH- Puchong) berkata, ini kerana usul itu telah difailkan semalam dan diterima oleh Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun.
“Saya minta satu keputusan dibuat berkenaan usul ini sama ada kita dibenarkan untuk berbahas usul ini. Apa saya tahu, usul ini telah diterima. Saya sendiri failkan tadi dan saya ada jumpa Speaker (Dewan Rakyat) tadi.
“Saya minta satu petua, bagaimana keputusan dibuat sama ada dibahas usul itu,” katanya di Dewan Rakyat.
Semalam, Takiyuddin memaklumkan bahawa beliau hanya akan memberikan penjelasan mengenai pengumumannya kelmarin, pada Isnin depan, iaitu hari terakhir sidang khas Parlimen seperti diputuskan oleh Speaker.
Azhar menjelaskan isu mengenai polemik pembatalan Ordinan Darurat hanya akan dibuat pada Isnin ini seperti diperuntukkan dalam aturan urusan mesyuarat (AUM) walaupun berulang kali dihujani desakan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Dalam pada itu, Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) meminta satu petua daripada Speaker Dewan Rakyat sama ada usul itu akan dibahaskan dengan segera.
Begitu juga dengan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) yang meminta usul itu segera dibahaskan memandangkan sidang Parlimen hanya berlangsung selama lima hari sahaja.
Katanya, memandangkan Takiyuddin juga ada di Dewan Rakyat, beliau seharusnya bangun dan menjawab usul itu.
“Parlimen mesti relevan. Kalau tidak orang ramai khuatir. Mohon tindakan diambil,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon berkata, Azhar akan menentukan dan memberi penjelasan mengenai usul itu hari ini.
“Puchong dah berikan secara bertulis dan Speaker akan tentukan. Speaker akan beri penjelasan kemudian (hari ini),” katanya.