
Ini bukan petanda baik buat rakyat dan negara, kata bekas Menteri Kewangan II, Johari Ghani, selain mengulangi gesaannya agar Perdana Menteri interim dilantik untuk mengemudi negara keluar daripada krisis kesihatan, ekonomi dan politik.
Kata Johari, satu-satunya cara untuk menyelesaikan kebuntuan politik semasa dan menyelamatkan negara adalah dengan Perdana Menteri interim dilantik untuk mengurus krisis ekonomi dan Covid-19, selain menetapkan tarikh untuk Parlimen dibubarkan supaya mandat bagi menentukan nasib negara kembali dalam tangan pengundi.
Beliau berkata, “jelas bahawa negara kita sedang menuju krisis perlembagaan” berikutan Yang di-Pertuan Agong menzahirkan kekecewaan atas pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan baginda dan balasan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) bahawa kerajaan telah bertindak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.
“Setakat ini, negara kita sudah menghadapi krisis kesihatan, ekonomi dan politik. Kita tidak mampu menghadapi krisis perlembagaan yang akan mempengaruhi haluan negara kita untuk pulih daripada Covid-19.
“Oleh itu, ini masanya bagi pemimpin semua parti, baik kerajaan mahupun pembangkang, untuk menyokong pelantikan Perdana Menteri interim agar kerajaan dapat fokus dalam memastikan usaha vaksinasi tidak terganggu,” katanya, selain menambah hanya 19% populasi Malaysia telah lengkap vaksinasi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, Perdana Menteri interim, atas nasihat pakar kesihatan awam, kemudian dapat menetapkan garis masa yang muktamad untuk Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum (PRU) diadakan “bagi mengembalikan mandat kepada rakyat, sekali gus menyelesaikan kebuntuan ini”.
Mengambil kira sasaran Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) bahawa semua orang dewasa di Malaysia lengkap vaksinasi pada Oktober tahun ini, kata Johari, Perdana Menteri interim dapat menetapkan pembubaran Parlimen pada akhir tahun ini dan mengadakan PRU menjelang awal 2022.
Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah memutuskan untuk membatalkan semua Ordinan Darurat pada 21 Julai mengikut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, sekali gus mengejutkan Ahli Parlimen juga rakyat.
Pihak pembangkang mendakwa “pembatalan rahsia” ini adalah untuk mengelak perbahasan dan undian mengenainya kerana ia akan membuktikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tiada sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Semalam, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Putrajaya tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan Ordinan Darurat dan kenyataan Takiyuddin di Parlimen adalah “tidak tepat dan mengelirukan ahli Dewan Rakyat”.
Dalam kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Perkara 150(2B) yang dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan Darurat terletak pada Agong.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) dan Tan Sri Idrus Harun, Peguam Negara semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan,” katanya.
Istana memaklumkan, baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah membelakangi fungsi dan kuasa Agong selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dalam balasannya kepada kenyataan Diraja itu malam tadi, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, tindakan diambil kerajaan membatalkan Ordinan Darurat dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan berkenaan turut menyertakan kronologi tindakan kerajaan berhubung keputusan membatalkan Ordinan Darurat.
Memetik Perkara 40 (1A) Perlembagaan, PMO berkata, Agong “sedia maklum bahawa baginda perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri”.