Rakyat muak pendakwaan terlalu lama, segerakan bicara kes rasuah, kata Sultan Selangor

Rakyat muak pendakwaan terlalu lama, segerakan bicara kes rasuah, kata Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin Idris Shah menyasarkan gejala rasuah di Selangor dapat dibanteras sepenuhnya supaya ia tidak menjadi masalah lebih besar.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap SPRM dapat melakukan siasatan telus dan teliti supaya pelaku yang dihadapkan ke mahkamah tidak terlepas dengan mudah. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menyeru agar perbicaraan kes rasuah disegerakan dan mahkamah tidak melayani penangguhan kes tanpa alasan kukuh kerana rakyat sudah muak dan bosan melihat pendakwaan yang berlarutan terlalu lama.

Menurut hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin turut menyasarkan agar gejala rasuah di Selangor dapat dibanteras sepenuhnya supaya ia tidak menjadi masalah yang lebih besar dan boleh memudaratkan generasi masa hadapan serta merosakkan masyarakat.

Titah itu dibuat kerana kebimbangan baginda berhubung peningkatan yang tinggi membabitkan kes rasuah khususnya di Selangor selepas berkenan menerima menghadap dan mendengar taklimat daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki di Istana Bukit Kayangan, hari ini.

“Baginda menzahirkan kebimbangan dengan perkembangan terbaharu ini dan berharap agar SPRM dapat melakukan siasatan yang telus dan teliti, supaya pelaku yang dihadapkan ke mahkamah tidak terlepas dengan mudah,” menurut kenyataan itu.

Turut berangkat pada pertemuan selama dua jam itu ialah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.