5 Ahli Parlimen PKR cuba dibeli untuk keabsahan Muhyiddin, kata Saifuddin

5 Ahli Parlimen PKR cuba dibeli untuk keabsahan Muhyiddin, kata Saifuddin

Saifuddin Nasution Ismail berkata, beberapa Ahli Parlimen blok pembangkang juga sedang diumpan dengan jawatan dua menteri yang kini kosong.

Ahli Parlimen pembangkang turut dipancing untuk menyertai PN, kata Saifuddin Nasution Ismail.
PETALING JAYA:
Usaha “rancak” sedang dijalankan untuk membeli Ahli Parlimen pembangkang, termasuk lima daripada PKR, bagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata Ahli Parlimen PKR di Hulu Selangor, Kuala Kedah, Alor Setar, Balik Pulau dan Setiawangsa dipancing dengan pelbagai ganjaran, termasuk jawatan menteri yang dikosongan Ahli Parlimen Umno.

Selain PKR, Ahli Parlimen lain di dalam blok pembangkang turut menjadi sasaran usaha kerajaan PN menambah sokongan, sebelum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menghadapi usul percaya di Dewan Rakyat bulan depan, kata Saifuddin.

“Ini sebabnya mengapa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin buat undi percaya bulan September.

“Melayu Islam tergugat. Atau kuasa, pangkat dan habuan yang menjadi tujuan berjuang,” katanya di Facebook.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Parit Sulong, Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Lenggong, Shamsul Anuar Nasarah meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi serta Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Beberapa pemimpin Umno lain turut meletak jawatan di institusi awam dan syarikat kaitan kerajaan sejajar keputusan MKT Umno menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Muhyiddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.