Mana Rina Harun, pemimpin DAP mahu menteri tampil sokong Ain

Mana Rina Harun, pemimpin DAP mahu menteri tampil sokong Ain

Setiausaha DAP Pulau Pinang Lim Hui Ying mempersoalkan sikap Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat yang tidak tampil memberikan sokongan terhadap Ain yang berdepan saman RM1 juta

Selain saman RM1 juta, pelajar sekolah Ain Husniza Saiful Nizam turut disiasat polis susulan laporan yang dibuat oleh guru berkenaan.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin DAP membidas Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Rina Harun yang tidak tampil memberi sokongan terhadap pelajar Ain Husniza Saiful Nizam yang berdepan tekanan selepas membuat pendedahan mengenai “jenaka rogol” didakwa dibuat seorang guru.

Ain kini disiasat polis selepas guru terbabit membuat laporan. Guru terbabit juga memfailkan saman RM1 juta terhadap keluarganya.

“Di mana menteri yang mahu tindakan tegas diambil ketika pendedahan pelajar ini kali pertama mendapat perhatian?” soal Setiausaha DAP Pulau Pinang Lim Hui Ying.

Sejak membuat pendedahan mengenai jenaka rogol yang didakwa dilakukan oleh guru terbabit dalam kelas, Ain menjadi pendorong kepada gesaan supaya pembaharuan terhadap pendidikan dilakukan khususnya membabitkan keselamatan dan kesejahteraan wanita muda.

Bagaimanapun, dia terus dikecam dan minggu lalu berdepan saman RM1 juta oleh guru yang didakwa membuat jenaka terbabit.

Dia turut dipanggil memberi keterangan di Balai Polis Sungai Buloh berhubung laporan polis yang dibuat oleh guru itu.

Keluarganya memutuskan akan memfailkan saman balas RM5 juta kerana “sengaja menimbulkan tekanan emosi dengan menghina maruahnya”

Dalam satu kenyataan, Lim menggesa Rina menyatakan pendirian terhadap kes Ain selain menyifatkan sikap menteri itu yang kurang lantang sebagai “memalukan”.

“Ain adalah orang muda di Malaysia dan generasinya akan menjadi pemimpin masa depan negara. Kurangnya tindakan daripada Rina menunjukkan contoh tidak elok kepada pemimpin masa hadapan ini,” katanya.

Lim berkata, kenyataan Rina pada April lalu yang berkata “tindakan tegas” patut diambil terhadap guru yang membuat komen itu, tidak memadai.

“Kami mahu kerajaan menyatakan pendirian mereka bersama mangsa daripada sekadar menyatakan isu ini tidak boleh dianggap remeh dan tindakan tegas perlu diambil.

“Kita sepatutnya menjadi negara maju yang melindungi wanita tetapi apa yang berlaku di bawah kerajaan Perikatan Nasional ialah kita semakin mundur,” tambahnya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.