Pusat jagaan orang tua terpaksa urus sendiri penularan kes Covid-19

Pusat jagaan orang tua terpaksa urus sendiri penularan kes Covid-19

Michelle yang berkongsi pengalaman selepas kematian datuk di pusat jagaan orang tua berpendapat satu garis panduan perlu disediakan untuk mereka.

Kemudahan pusat jagaan orang tua memerlukan garis panduan yang jelas bagaimana untuk menghadapi kes Covid-19 di kalangan penghuni dan kakitangan mereka, kata seorang wanita yang kehilangan datuknya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Beribu keluarga kehilangan orang tersayang ketika negara dan sistem penjagaan kesihatan masih bergelut untuk memerangi penularan pandemik Covid-19.

Michelle (bukan nama sebenar) berkongsi pengalaman selepas dia kehilangan datuknya yang berusia 93 tahun akibat jangkitan itu di pusat jagaan orang tua di Petaling Jaya.

“Kira-kira dua minggu lalu, kami mendapat panggilan memaklumkan tujuh daripada 10 penghuni serta tiga daripada empat kakitangan didapati positif.

“Disebabkan tiga kakitangan terpaksa dikuarantin, semua beban tugas terpaksa dipikul oleh satu-satunya kakitangan yang tinggal. Dia perlu menguruskan segalanya termasuk mereka yang dijangkiti dan yang diuji negatif,” katanya.

Michelle berkata, keluarga mereka dimaklumkan bahawa tidak ada doktor yang boleh datang ke pusat jagaan terbabit menyebabkan ia terkontang-kanting menguruskannya sendiri.

Katanya, satu-satunya kakitangan itu yang diuji negatif pula tidak mempunyai pengalaman dalam bidang perubatan.

“Datuk saya adalah penghuni kedua yang meninggal dalam tempoh dua minggu. Dengan penularan jangkitan yang tidak terkawal, pusat jagaan orang tua seperti ini sememangnya berdepan dengan tekanan untuk menguruskannya.
Michelle kini mempersoalkan kurangnya garis panduan dan perhatian dari segi perubatan diberikan terhadap penghuni di pusat jagaan orang tua.

“Mengapa penghuni warga emas yang diuji negatif ini diberitahu untuk menjalani kuarantin di rumah itu. Kebanyakan mereka hanya mengalami gejala ringan tetapi dianggap sebagai kumpulan yang mudah terdedah.

“Saya rasa satu garis panduan lebih jelas perlu disediakan untuk pusat jagaan seperti ini seperti apa yang perlu dilakukan jika terdapat kes dikesan di situ. Nampaknya kakitangan dan penghuni dibiarkan menguruskan diri sendiri,” katanya.

“Jika kilang-kilang mempunyai prosedur operasi standard (SOP), mengapa tidak untuk pusat jagaan orang tua?”

Michelle berkata dia tidak menyalahkan pengurusan pusat jagaan itu kerana mereka juga melakukan yang terbaik dalam keadaan sukar untuk menangani situasi dihadapi.

“Saya cuma berharap orang ramai sedar apa yang dilalui oleh penghuni ini supaya tindakan sebaiknya dapat diambil.

“Pemergian datuk saya harus menjadi pengajaran. Mereka perlu diberi penjagaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.