
Ketua Polis Kedah, Kamarul Zaman Mamat berkata, semua suspek terbabit melakukan samun berkumpulan terhadap seorang lelaki di jalan berhampiran Simpang Harvard pada 29 Julai lalu.
Beliau berkata, semua suspek berusia 18 hingga 25 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
“Penahanan mereka dilakukan berhubung kejadian lelaki berusia 28 tahun yang disamun pada 11 malam 29 Julai lalu.
“Dalam kejadian itu, suspek dikatakan menahan mangsa dan berpura-pura bertanya adakah motosikal rosak yang diletakkan di situ kepunyaannya (mangsa),” katanya dalam satu kenyataan.
Kamarul berkata, seorang daripada suspek kemudiannya mengambil sebilah parang dari raga motosikal dan diacukan ke leher mangsa lalu meminta serahkan semua barang.
Katanya, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM1,100 berserta beg galas dan dokumen lain.
“Semua tangkapan direman sehingga lima hari mulai 7 hingga 11 Ogos ini bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” tambah beliau.