Seludup air ketum ke PKRC, 2 lelaki ditahan

Seludup air ketum ke PKRC, 2 lelaki ditahan

Polis menahan dua lelaki bermotosikal itu ketika cuba menghantar air ketum kepada rakan yang menjalani kuarantin.

Polis berkata pemeriksaan dalam raga motosikal suspek menemukan satu beg yang di dalamnya mengandungi satu kotak air minuman disyaki air ketum. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan dua lelaki kerana dipercayai cuba menghantar air ketum kepada rakan mereka yang sedang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), di Bachok semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok, Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata suspek berusia 18 dah 20 tahun itu ditahan pada 2 petang.

“Seorang anggota polis yang sedang bertugas di PKRC berkenaan melihat kedua-dua lelaki yang menaiki motosikal itu berada dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahan mereka.

“Pemeriksaan di dalam raga motosikal itu menemukan satu beg yang di dalamnya mengandungi satu kotak air minuman disyaki air ketum,” katanya menurut laporan Bernama.

Ismail berkata, saringan air kencing ke atas kedua-dua lelaki itu didapati negatif sebarang jenis dadah.

“Kes akan disiasat bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Polis akan turut menyiasat bagi mengesan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di dalam PKRC tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.