
Menerusi infografik dan kenyataan di laman sosialnya, Noor Hisham berkata, jumlah yang direkodkan menerusi saringan berkala dijalankan KKM itu hanya membabitkan 3.05% daripada semua petugas yang telah menerima dua dos lengkap vaksin.
“Hanya 17 kes, iaitu 0.22%, berada di Kategori 3,4 dan 5. Dimaklumkan juga dua kes kematian di Kategori 5,” katanya di Twitter.
Graf yang turut disertakan menunjukkan kebanyakan petugas kesihatan yang dijangkiti berada dalam Kategori 2, iaitu 5,135 kes (67.6%).
Sebanyak 10 kes direkodkan bagi Kategori 3 (0.13%) diikuti empat kes bagi Kategori 4 (0.05%) dan tiga kes dalam Kategori 5 (0.04%).
Beliau berkata, vaksin hanya mengurangkan keparahan dan kes kematian, bukan terus menghindarkannya.
“Tiada vaksin yang berkesan 100%,” tambahnya.
Sebanyak 19,740 kes jangkitan harian Covid-19 dicatatkan semalam, dengan Selangor masih menjadi negeri mencatatkan kes paling tinggi, iaitu 5,706 kes, diikuti Kuala Lumpur (1,369) dan Sabah (1,728).