Rupanya bukan disamun, wanita alami tekanan perasaan tikam paha sendiri

Rupanya bukan disamun, wanita alami tekanan perasaan tikam paha sendiri

Wanita berkenaan akan dituduh mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan di Mahkamah Selayang esok, kerana membuat laporan palsu.

Cubaan samun didakwa wanita terbabit tidak pernah berlaku, sebaliknya ‘mangsa’ telah menikam badannya sendiri. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Seorang wanita yang mengalami tekanan perasaan bertindak menikam pahanya sendiri, namun menipu mendakwa disamun dalam kejadian di Jalan 10, Taman Greenwood, Gombak, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak Zainal Mohamed Mohamed, berkata polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak mengesahkan bahawa kejadian cubaan samun itu tidak berlaku dan mangsa mencederakan diri sendiri di lokasi berkenaan.

Menurutnya, hasil siasatan rapi dijalankan mendapati mangsa reka cerita kejadian cubaan samun itu dan menikam paha kanannya sendiri.

“Mangsa menerima tujuh jahitan pada luka tikaman di paha kanan. Motif kejadian adalah mangsa mengalami tekanan perasaan akibat masalah keluarga.

“Kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor dan mangsa akan dituduh mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan di Mahkamah Selayang esok,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan tidak sesekali membuat laporan palsu bagi kepentingan diri sendiri kerana ia adalah satu perlakuan tidak bertanggungjawab dan ianya adalah kesalahan di sisi undang-undang.

Akhbar berkenaan sebelum ini melaporkan seorang wanita cedera selepas ditikam di paha dalam satu cubaan ragut di Jalan 10, Taman Greenwood, Gombak.

Polis menerima aduan pada jam 4.24 petang daripada orang awam yang menemui seorang wanita dalam keadaan cedera akibat ditikam dalam sebuah kereta di lokasi berkenaan.

Individu yang mempunyai masalah boleh menghubungi sukarelawan terlatih di Befrienders menerusi talian 03-79568145/8144 pada bila-bila masa, atau melalui e-mel [email protected].

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.