Pejuang turut calonkan Anwar sebagai PM, tapi dia ‘tak dapat’ kata Dr M

Pejuang turut calonkan Anwar sebagai PM, tapi dia ‘tak dapat’ kata Dr M

Pengerusi Pejuang berkata, parti itu mencalonkan Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri susulan empat Ahli Parlimennya menandatangani akuan berkanun (SD) untuk menyokong beliau.

Dr Mahathir Mohmad percaya Anwar Ibrahim adalah seorang yang tidak akan mengalah untuk mendapatkan jawatan perdana menteri.
PETALING JAYA:
Presiden PKR Anwar Ibrahim dicalonkan Pejuang untuk menjadi perdana menteri selepas empat ahli Parlimen parti itu menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyokong beliau, kata Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Pejuang itu berkata mereka menandatangani SD berkenaan dengan harapan Anwar akan mempunyai sokongan yang cukup.

“Hanya empat Ahli Parlimen dalam Pejuang dan kami menandatangani SD untuk menyokong beliau. Tetapi beliau tak dapat,” katanya menurut laporan The Malaysian Insight.

Terdahulu hari ini, Yang di-Pertuan Agong mengumumkan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob akan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-9 esok.

Pengumuman itu dibuat menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara sejurus selepas Agong mempengerusikan mesyuarat khas selama dua jam bersama Raja-Raja Melayu hari ini.

Mahathir bagaimanapun percaya Anwar adalah seorang yang tidak akan mengalah untuk mendapatkan jawatan perdana menteri.

“(Bekas perdana menteri) Najib Razak dan (Presiden Umno) Ahmad Zahid Hamidi, saya percaya dah habis (tidak akan jadi PM).

“Anwar ialah seorang yang akan berjuang hingga akhir. Tidak lama Anwar akan mendapat lebih ramai sokongan daripada Ismail Sabri,” katanya.

Mengenai kepimpinan Ismail Sabri, Mahathir berkata beliau tidak mempunyai banyak pengalaman.

Mengulas penubuhan Kabinet baharu yang bakal ditubuhkan Ismail, Dr Mahathir berkata Pejuang tidak berminat dengan sebarang jawatan.

“Kita kini terjejas dengan pandemik Covid-19. Walaupun bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin melaksanakan darurat, kes masih lagi tinggi.

“Kita juga ada beri cadangan, tapi tak didengar. Bagi Pejuang itulah perjuangan kami, untuk tangani isu pandemik, sosial dan ekonomi.”

Ahli Parlimen Langkawi berkata mereka akan menyokong Ismail sekiranya Majlis Pemulihan Negara (MPN) ditubuhkan.

“Itu (MPN) kita akan sokong. Tetapi jika beliau mahu bentangkan usul (di Parlimen kita perlu tengok dahulu).

“Kita tidak boleh katakan kita secara terang-terangan menyokongnya,” kata beliau.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.