
Beliau yang keluar melalui pintu utama Istana Negara menaiki Toyota Vellfire dilihat membuka tingkap dan melambai ke arah media yang menanti sejak jam 1 petang lagi.
Istiadat tersebut diadakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada jam 2.30 petang.
Pelantikan Ismail yang juga Naib Presiden Umno sebagai Perdana Menteri kesembilan, dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Bera itu dilantik ke jawatan nombor satu kerajaan susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin susulan 15 Ahli Parlimen Umno menarik sokongan kepada Presiden Bersatu itu.
Turut hadir pemimpin parti, antaranya Muhyiddin, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Pengerusi GPS Abang Johari Openg, Presiden MCA Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC M Saravanan, Presiden PBS Maximus Ongkili, Timbalan Presiden PBRS Arthur Joseph Kurup, dan Pengerusi Lembaga Penasihat BN Najib Razak.
Hadir sama Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Speaker Dewan Negara Rais Yatim.
Terdahulu Ismail dan pimpinan parti yang membentuk kerajaan tiba di Istana Negara sekitar jam 2 petang melalui Pintu 2.
Semalam, Istana Negara dalam kenyataannya mengumumkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri selepas 114 Ahli Dewan Rakyat dari parti kerajaan pimpinan Muhyiddin sebelum ini mencalonkannya, sekali gus mendapat mengekalkan pentadbiran lalu dari jatuh kembali kepada Pakatan Harapan (PH) yang mencalonkan Anwar Ibrahim.