
Beliau berkata semua Ahli Parlimen Parti PN dari Bersatu, PAS dan STAR berdiri teguh dengan Ismail, dan yakin pelantikannya dapat memastikan kesinambungan dasar dan iltizam PN, khasnya memulihkan negara daripada impak Covid-19.
“Yakin bahawa pelantikan beliau dapat memastikan kesinambungan dasar, perancangan serta iltizam kerajaan PN terutamanya memulihkan negara daripada impak Covid-19 dengan segara,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Ismail selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Sultan Abdullah memberi perkenan terhadap pelantikan itu yang selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan.
Semalam, Istana Negara dalam kenyataannya mengumumkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri selepas 114 Ahli Dewan Rakyat mencalonkannya, sekali gus mendapat jumlah majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Ismail yang juga Naib Presiden Umno dilantik sebagai Perdana Menteri baharu menggantikan Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada Isnin lalu.
Dalam pada itu, Hamzah berkata PN percaya pelantikan Ismail dapat menghentikan kemelut politik sebelum ini dan menyatupadukan semua pihak untuk kembali fokus kepada agenda membela kebajikan rakyat terutamanya dalam pembentukan sebuah kerajaan yang stabil.
Beliau berkata PN juga berterima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang telah mengetuai tampuk pemerintahan negara dengan amanah, cekal dan beristiqamah.
“Semua program bantuan rakyat, pakej rangsangan ekonomi termasuk perbelanjaan pengurusan Covid-19 yang diluluskan oleh Muhyiddin merupakan bukti keprihatinan beliau yang akan selamanya tercatat dalam sejarah negara,” katanya.