
Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, beliau mengundurkan diri hari ini bagi membolehkan kerajaan dan pembangkang “menetapkan semula” fungsi Dewan Rakyat.
Dalam kenyataan, beliau menegaskan keperluan Dewan Rakyat berfungsi sebagai “forum persaingan profesional dan kerjasama antara parti mengenai polisi dan urus tadbir negara.”
“Dengan pelantikan perdana menteri baharu dan tuntutan awam yang jelas mahukan kerjasama rentas kepartian, saya telah meletak jawatan (sebagai timbalan speaker).
“Ini untuk memberi kerajaan dan pembangkang ruang lebih luas untuk bertindak memastikan Dewan Rakyat yang mulia ini boleh benar-benar berfungsi sebagai forum kerjasama dan saingan secara professional antara parti mengenai soal urus tadbir dan dasar,” kata Azalina.
“Saya akan menyokong sebarang pembaharuan yang mungkin ingin dilakukan oleh kerajaan dan pembangkang dalam kebijaksanaan kolektif mereka,” katanya.
Azalina berkata antara sebab dia mengundurkan diri adalah konflik peranan dan tanggungjawabnya sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno dan Ahli Parlimen gabungan parti pemerintah.
“Pada masa akan datang, Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat patut digantung daripada jawatan dalam parti” untuk memastikan mereka menjalankan fungsi mereka secara berkecuali dan tanpa rasa takut atau pilih kasih, kata Azalina.
Azalina berkata, perkembangan politik dalam tempoh 17 bulan lalu membolehkannya meneliti kecacatan institusi demokrasi berparlimen Malaysia dan kekangan diri dalam menjalankan tugas sebagai timbalan speaker tanpa berkompromi integriti profesionalnya.
Beliau menegaskan bahawa nilai-nilai peribadinya berkaitan dengan kedaulatan undang-undang, demokrasi Parlimen serta semak dan imbang adalah konsisten sejak pengisytiharan Darurat pada Jan lalu.
“Kekecewaan saya diketahui umum, dan sebabnya juga diketahui. Tanggungjawab saya mewajibkan saya menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Perintah Tetap Dewan Rendah dalam setiap keadaan,” katanya.
Azalina juga berkata kurangnya perundingan untuk mencapai keputusan bersama memberi kesan kepadanya selaku sebagai timbalan speaker.
Sambil menganggap kedudukannya sebagai timbalan speaker sejak 13 bulan lalu sebagai “penghormatan dan keistimewaan besar,” Azalina mengucapkan terima kasih kepada rakan sekerja dan rakyat Malaysia atas sokongan selama ini.