
Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan ADUN Selangor agar “jangan terlalu banyak berpolitik” sehingga lupa membela nasib rakyat.
“Nampaknya Ahli-ahli Yang Berhormat tidak mahu belajar daripada sejarah tentang kejatuhan sesebuah negara akibat perebutan kuasa yang mengakibatkan perpecahan dalam masyarakat.
“Tidakkah Ahli-ahli YB sedar bahawa apabila pemimpin-pemimpin politik berebut kuasa dan keadaan politik menjadi tidak stabil maka rakyat yang terpaksa menanggung kesusahannya?” katanya dalam ucapan sempena istiadat pembukaan sidang Penggal ke-4 Dewan Negeri Selangor hari ini.
Sultan Sharafuddin berkata, wakil rakyat “sudah pastinya tahu” bahawa rakyat sedang menderita ketika negara berdepan wabak Covid-19.
Baginda kesal melihat kelakuan ahli politik, ketika wakil rakyat sepatutnya ambil tahu masalah yang sedang dihadapi rakyat di kawasan masing-masing.
Katanya, ketika ini, para wakil rakyat sepatutnya menyemak jumlah rakyat yang hilang pekerjaan dan memperolehi data daripada rakyat yang hilang tempat bergantung, serta mereka yang berdepan tekanan hidup.
“Bantulah mereka, carilah mereka, bukan sekadar mencari mereka untuk mendapatkan undi sewaktu pilihan raya semata-mata,” katanya.
Tahu ahli politik disiasat SPRM
Sementara itu, Sultan Selangor mengingatkan para ADUN bahawa baginda mengikuti perkembangan perang melawan rasuah di negerinya.
Selain maklum tentang tangkapan beberapa penjawat awam berkedudukan tinggi, Sultan Sharafuddin turut menerima laporan mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pemimpin politik berkaitan amalan rasuah dan salah guna kuasa.
“Beta telah pun menitahkan SPRM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi membersihkan Selangor daripada amalan rasuah,” katanya.
Sultan Sharafuddin bimbang tidak berkesempatan melihat Selangor menjadi negeri yang maju, pesat dan selesa bagi rakyatnya, “andaikata sikap segolongan pemimpin politik dan pegawai kerajaan berterusan mementingkan kuasa dan kedudukan, menjadikan amalan rasuah sebagai budaya hidup, mengetepikan kepentingan rakyat dan tidak berusaha memajukan semula ekonomi negeri”.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin juga memberi amaran jangan ada mana-mana pihak cuba membakar api perkauman dan mencetuskan provokasi di negerinya.
“Harus diingat, jika kekacauan berlaku antara kaum, api kemarahan dan perpecahan ini amat sukar untuk dipadamkan,” katanya.