PH perlu bentuk barisan padu untuk PRU15

PH perlu bentuk barisan padu untuk PRU15

Gabungan akan tumpu perhatian kepada mengukuhkan sokongan 105 Ahli Parlimen kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai PM, kata Khalid Samad.

Anwar Ibrahim, diapit oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) kini akan menumpukan perhatian kepada usaha mengukuhkan sokongan 105 Ahli Parlimen kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri, menurut seorang pemimpin pembangkang.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, bukan mudah untuk mendapatkan semua 105 Ahli Parlimen pembangkang menyokong Anwar, sambil menambah, beliau percaya ini akan menimbulkan kebimbangan pihak lain.

“Kami sekarang ingin pastikan kami dapat kukuhkannya dan bentuk barisan padu pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15),” katanya.

Beliau turut menyangkal khabar angin di media sosial yang mengatakan Anwar hanya memperoleh 92 undi dan Dr Mahathir Mohamad serta Warisan tidak menyokong ketua pembangkang itu.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy bersetuju dengan Khalid dengan berkata, PH harus beralih daripada usahanya yang gagal untuk membentuk kerajaan kepada mengukuhkan kekuatannya.

Kata pemimpin DAP itu, kegagalan PH merebut Putrajaya setelah Muhyiddin Yassin kehilangan sokongan majoriti “bukanlah masalah besar” dan kemenangan bersih melalui PRU adalah “jauh lebih baik”.

“Saya fikir (PH) adalah pembangkang yang menggerunkan,” katanya.

“PH harus melihat ke hadapan. Saya rasa kita tidak patut bekerjasama dengan kleptokrat. Anwar mesti menunjukkan kepimpinannya dan berhenti bercakap dengan Umno.

“Sementara itu, PH perlu tampil dengan kenyataan dan idea yang jelas, selain langkah-langkah yang dapat diperkenalkan untuk mengumpulkan sokongan daripada semua lapisan masyarakat.

“Bagi saya, di negara yang berbilang kaum dan agama, PH adalah alternatif terbaik, walaupun ada kelemahannya, walaupun dengan kesalahan yang telah kami buat.”

Komen Khalid dan Ramasamy ini adalah sebagai respons kepada pandangan ahli sains politik Wong Chin Huat bahawa PH gagal menampilkan dirinya sebagai calon kerajaan, walaupun memiliki ramai Ahli Parlimen yang memikirkan dasar.

Wong berkata, negeri-negeri yang dikuasai PH sepatutnya menunjukkan mereka dapat menangani wabak dengan lebih baik, terutamanya di Selangor, yang mempunyai sumber daya untuk melakukannya.

Beliau juga berkata, tuntutan munasabah masyarakat sivil dan pengkritik agar PH membentuk Jemaah Menteri bayangan diketepikan dengan pelbagai alasan.

Namun kata Khalid, Jemaah Menteri bayangan tiada kedudukan atau pengiktirafan rasmi daripada agensi kerajaan dan ini akan menyukarkan negeri-negeri PH untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk membentuk dasar.

“Kerajaan Selangor sekalipun, melalui Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor, kecewa kerana tidak dapat memperoleh data yang diperlukan daripada Kementerian Kesihatan.

“Jika kerajaan negeri sekalipun tak dapat peroleh data yang diperlukan untuk bentuk strategi dan dasar yang tepat, apatah lagi Jemaah Menteri bayangan yang tidak diiktiraf?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.