
“Sebagai doktor, anda mesti mempercayai pesakit anda. Saya memastikan beliau memang sakit jadi kami membuat pelbagai pemeriksaan termasuk imbasan MRI (magnetic resonance imaging) dan CT (computerized tomography) terhadapnya,” kata Dr Mohd Shahir Anuar dalam prosiding di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.
Shahir disapina untuk hadir ke mahkamah bagi menjelaskan keadaan kesihatan Zahid.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran menyoal doktor itu sama ada Zahid sekadar berpura-pura sakit untuk mengelak menghadiri perbicaraan.
Katanya, Zahid dilaporkan jatuh di rumahnya pada 18 Ogos lalu, tetapi pergi ke Istana Negara pada 19 Ogos untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Zahid dan Ahli Parlimen lain daripada Barisan Nasional, PAS, Gabungan Parti Sarawak, PBS, STAR serta Bersatu menghadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan menyokong pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri.
“Beliau turut hadir di Istana Negara untuk menyaksikan majlis angkat sumpah perdana menteri pada 21 Ogos.
“Ketika itu sakit tidak menghalangnya pergi ke Istana dan duduk di situ selama sejam?” soalnya.
Shahir menjawab beliau dimaklumkan Zahid makan ubat tahan sakit ketika kedua-dua kejadian itu.
Semalam, mahkamah diberitahu Zahid tidak dapat menghadiri perbicaraan rasuah terhadapnya kerana dimasukkan ke hospital selepas jatuh di rumahnya. Sequerah kemudian memanggil Shahrir untuk memberi penjelasan kepada mahkamah.
Zahid menghadapi 47 tuduhan pecah amanah jenayah melibatkan dana daripada Yayasan Akalbudi, pengubahan wang haram serta menerima rasuah untuk pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.
Rozela kemudian menjelaskan pihaknya bukan mempertikaikan kepakaran doktor itu atau rawatan diberikan kepada pesakitnya.
Sequerah turut menyoal Shahrir berapa lama diperlukan Zahid untuk sembuh dan menghadiri mahkamah. Doktor itu menjawab disebabkan keadaannya teruk dia akan memerlukan tempoh empat hingga enam minggu.
Sequerah: Berapa lama dia boleh duduk?
Shahrir: Saya nasihatkan pesakit berdiri setiap 30 hingga 45 minit untuk meregangkan badan. Kerusinya perlu sesuai.
Hakim kemudian bertanya sama ada Zahid mengalami sebarang komplikasi susulan rawatan itu, tetapi Shahrir menjawab tidak.
Selain itu, Shahrir juga berkata, Zahid boleh menghadiri mahkamah pada 6 September sekiranya dibenarkan tempoh berehat yang singkat setiap 30 hingga 45 minit.
Peguam Hamidi Mohd Noh berkata, pihak pembelaan bersedia meneruskannya pada 6 September tetapi meminta Zahid dibenarkan duduk di kerusi yang selesa.
Hujahan pada akhir kes pendakwaan akan bersambung pada 6 September.