Isytihar perkakas dapur, cubaan seludup dadah RM6 juta gagal

Isytihar perkakas dapur, cubaan seludup dadah RM6 juta gagal

Modus operandi sindiket itu adalah mengisytiharkan kotak berisi dadah sebagai alat perkakasan dapur elektrik iaitu dikategori kargo umum bagi mengaburi pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Kastam, Abdul Latif Abdul Kadir, berkata pihaknya mendapati 10 daripada kotak itu berisi bungkusan teh di dalamnya mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah seberat 184kg untuk diseludup ke negara di Asia Pasifik. (Gambar Bernama)
NILAI:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup keluar 184kg dadah jenis Methamphetamine bernilai RM6.62 juta disorok dalam bungkusan teh, menerusi operasi di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 Ogos lepas.

Ketua Pengarahnya Abdul Latif Abdul Kadir berkata, dalam operasi dilakukan sepasukan anggota Cawangan Narkotik Kastam JKDM menemukan bahan kristal jernih disyaki dadah jenis Methamphetamine dalam bungkusan teh diisi dalam kotak.

Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah dengan mengisytiharkan kotak tersebut sebagai alat perkakasan dapur elektrik iaitu dikategori kargo umum bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan mendapati 10 daripada kotak itu berisi bungkusan teh yang di dalamnya mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah berbahaya seberat 184kg untuk diseludup ke negara-negara di Asia Pasifik.

“Turut ditahan bersama dadah tersebut, dua lelaki tempatan berusia 35 dan 43 tahun,” katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik JKDM, Kampung Jijan.

Abdul Latif berkata, susulan rampasan itu JKDM melakukan serbuan di dua rumah berasingan di sekitar Nilai dan menahan dua lagi lelaki tempatan berusia 42 dan 45 tahun yang disyaki dalang sindiket tersebut.

Beliau berkata, semua yang ditahan dipercayai telah 11 kali melakukan perbuatan tersebut menggunakan modus operandi sama dengan dadah diperoleh dari pasaran tempatan.

“JKDM berusaha mengesan beberapa individu lain yang dipercayai turut terlibat dengan sindiket tersebut, manakala siasatan berhubung rekod jenayah lampau termasuk hasil ujian air kencing kesemua lelaki yang ditahan masih dijalankan,” katanya.

Katanya, semua mereka direman 14 hari bermula 17 Ogos lepas dan kes disiasat bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.