Lantik muka lama untuk sambung dasar terdahulu, kata Wan Junaidi

Lantik muka lama untuk sambung dasar terdahulu, kata Wan Junaidi

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ia membabitkan tiga keutamaan iaitu memerangi covid-19, memulihkan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata keutamaannya adalah memastikan hak penduduk Sabah dan Sarawak terjamin seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.
PETALING JAYA:
Pemilihan semula muka lama daripada pentadbiran Muhyiddin Yassin dalam Jemaah Menteri baharu memaparkan kehendak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mahu meneruskan kesinambungan dasar yang dilaksanakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan berkata, ia membabitkan tiga keutamaan iaitu memerangi covid-19, memulihkan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.

Beliau yang berterima kasih kerana masih dipilih berada dalam Jemaah Menteri Ismail berkata, tidak kira muka lama atau baharu, apa yang jelas mereka yang terpilih mengetuai kementerian tidak mempunyai masa kerana sudah diberikan tempoh 100 hari untuk menunjukkan hasil.

“Perdana menteri sememangnya serius apabila beliau mengatakan barisan Kabinet baharu ini berfungsi sebagai pasukan pengurusannya untuk bekerja dengan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, keutamaannya adalah memastikan hak penduduk Sabah dan Sarawak terjamin seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Idris Ahmad yang dilantik menggantikan Zulkifli Mohamad sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) berjanji akan melakukan tugas dengan baik.

Katanya, beliau juga akan meneruskan usaha dan kecemerlangan dilakukan Zulkifli sebelum ini.

“Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik dan akan memberi kerjasama (kepada semua pihak) serta akan jumpa (semua) agensi bawah kementerian (apabila memulakan tugas nanti).

“Mohon doakan saya dapat melakukan tugas dengan (penuh) integriti dan mempunyai kesungguhan dalam melaksanakan tugas,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Idris adalah bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang dan dilantik sebagai Ahli Dewan Negara sejak 16 Jun 2020.

Sementara itu, Fadillah Yusof menyifatkan pelantikan semula sebagai menteri kanan kerja raya adalah amanah serta tanggungjawab besar demi rakyat dan negara.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, beliau menyedari rakyat menaruh harapan tinggi kepada Jemaah Menteri baharu Ismail.

Katanya, ini kerana rakyat masih bergelut dengan penularan Covid-19 dan keadaan ekonomi yang sangat mencabar.

“Seperti ditekankan oleh perdana menteri, Kabinet ini adalah pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat, yang perlu bertindak pantas dan bersepadu,” katanya.

Pelantikan semula Alexander Nanta Linggi menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi ruang kepadanya meneruskan rancangan tergendala susulan perubahan pucuk pimpinan negara.

“Ketika saya meninggalkan kementerian ini susulan peletakan jawatan perdana menteri ke-8 (Muhyiddin Yassin) sebenarnya terdapat banyak perancangan dirangka bagi membantu pengguna dan komuniti peniaga di negara ini.

“Dengan pelantikan semula saya sebagai menteri KPDNHEP, saya komited untuk meneruskan perancangan yang tergendala itu yang banyak tertumpu kepada usaha kerajaan membantu memulihkan ekonomi rakyat serta sektor peruncitan dan perdagangan domestik negara,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kimanis Mohamad Alamin komited melaksanakan tanggungjawab sebagai timbalan menteri pendidikan II demi pembangunan negara dan rakyat.

Beliau yang juga ketua Umno Kimanis adalah dua muka baharu mewakili Sabah dilantik membarisi Jemaah Menteri bawah kepimpinan Ismail.

Dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, Mohamad berkata akan memanfaatkan sepenuhnya kudrat untuk melaksanakan tugas baharu diamanahkan.

“Setinggi-tinggi terima kasih kepada perdana menteri atas kepercayaan dan amanahkan saya sebagai timbalan menteri pendidikan II,” katanya.

Seorang lagi adalah Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa yang dilantik sebagai timbalan menteri kewangan II.

Selain itu, empat pemimpin Sabah dilantik semula adalah Maximus Ongkili sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee, Timbalan Menteri Dalam Negeri Jonathan Yasin dan Timbalan Menteri Kerja Raya Arthur Joseph Kurup.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.