Kabinet baharu perlu terima penyertaan semua pihak, kata Hadi

Kabinet baharu perlu terima penyertaan semua pihak, kata Hadi

Jadikan pembangkang sebagai pembangkang yang menasihat, bukannya menggugat tanggungjawab untuk menyelamatkan rakyat dan negara.

Abdul Hadi Awang berkata, keadaan itu mencerminkan suasana sangat positif kepada Kabinet baharu dan jentera kerajaan yang menjalankan tugas.
PETALING JAYA:
Kabinet baharu perlu bersikap terbuka dengan menerima penyertaan semua pihak untuk sama-sama memainkan peranan dalam mempercepatkan proses pemulihan negara, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Pada masa yang sama katanya, kerajaan harus mendengar dan menerima kritikan yang membina daripada semua pihak dengan melakukan muhasabah terhadap kelemahan dan kekurangan yang berlaku.

“Kita mengharapkan segala tumpuan diberikan kepada aspek untuk menyelesaikan masalah asasi yang terdesak dalam keadaan darurat hari ini.

“Peranan mereka yang berada di barisan hadapan juga perlu diberikan perhatian yang lebih serius dari segi pengorbanan harta dan jiwa raga demi menyelamatkan nyawa rakyat dan negara,” katanya dalam catatan di Facebook.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, tawaran kepada pihak pembangkang pada awalnya ditolak kerana kerakusan mereka untuk berkuasa semula, akhirnya dapat diterima.

Ini susulan jemputan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kepada tiga parti utama komponen Pakatan Harapan yang disambut baik dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim juga berjanji untuk memudahkan urusan pentadbiran susulan pertemuan mereka di Putrajaya pada 25 Ogos lalu.

“Akhirnya tawaran itu diterima, walaupun sebahagiannya sudah ditarik. Tindakan tersebut adalah suatu langkah yang sangat bertanggungjawab demi rakyat dahulu diselamatkan, sebelum menunaikan kegelojohan ahli politik,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu mencerminkan suasana sangat positif kepada Kabinet baharu dan jentera kerajaan yang menjalankan tugas, dengan harapan tiada lagi sebarang gangguan daripada PH yang “tidak sabar” menunggu pilihan raya umum ke-15.

“Jadikan pembangkang sebagai pembangkang yang menasihat, bukannya menggugat tanggungjawab untuk menyelamatkan rakyat dan negara.

“Jadikan urusan ini laksana berada dalam satu bahtera yang sama dalam menghadapi gelombang lautan yang mengganas. Sekiranya semuanya selamat, kita semua selamat bersama. Dan sebaliknya jika tenggelam, maka semuanya tenggelam bersama juga,” katanya.

“Hal ini disebabkan mereka yang menjadi mangsa pandemik tidak mengenal sama ada pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang, termasuklah kalangan yang membisu di atas pagar,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.